Shah Alam, 24 November 2025 — Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima sumbangan berjumlah 825 naskhah buku daripada mendiang Tan Sri Dato’ Seri Dr. Visu Sinnadurai, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan mantan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.

Sumbangan tersebut diserahkan melalui wakil peguam mendiang En. Ng Seng Yi di Perpustakaan Undang-Undang Universiti Malaya, dan pengambilannya telah diuruskan oleh Ketua PTAR Undang-Undang bersama Pengarah Bahagian Sumber Rujukan Universiti, PTAR.
Menurut wakil peguam mendiang, sumbangan ini adalah sebahagian daripada hasrat mendiang untuk memastikan koleksi bahan undang-undangnya dapat dimanfaatkan oleh warga akademik khususnya dalam bidang perundangan. Koleksi tersebut bakal menjadi rujukan penting kepada pelajar, pensyarah serta penyelidik UiTM.
Sehubungan itu, semua buku sumbangan berkenaan akan ditempatkan sebagai Koleksi Khas Sumbangan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Visu Sinnadurai di PTAR Undang-Undang, UiTM Shah Alam.
Pihak PTAR menzahirkan penghargaan dan rasa amat berbesar hati atas sumbangan ilmiah tersebut, yang dianggap sebagai satu penghormatan kepada komuniti akademik UiTM serta suatu legasi berharga dalam bidang perundangan negara.

