Program Syarahan Perdana A. Kadir Adabi: Sastera sebagai Denyut Nadi Bangsa: Menjaga Jiwa dalam Arus Moden

MACHANG, 2 November 2025 – Program Syarahan Perdana A. Kadir Adabi: Sastera sebagai Denyut Nadi Bangsa: Menjaga Jiwa dalam Arus Moden telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan HRD(A), UiTM Cawangan Kelantan. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Akademi Pengajian Bahasa, dan Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Cawangan Kelantan.

Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ini menerima penyertaan lebih 200 orang peserta secara fizikal dan lebih 800 tontonan secara langsung melalui saluran YouTube, memperlihatkan sambutan yang amat menggalakkan daripada warga akademik, pelajar serta pencinta bahasa dan sastera tanah air.

Program ini bertujuan memperkasakan penggunaan serta penghargaan terhadap keindahan Bahasa Melayu di samping mengangkat tokoh ilmuan tersohor negeri Kelantan, Allahyarham A. Kadir Adabi, sebagai ikon perjuangan bahasa dan sastera tanah air.

Syarahan utama telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Profesor Emeritus Dr. Kapten Hashim Yaacob, Canselor Innovative University College, Selangor, melalui tajuk “Sastera sebagai Denyut Nadi Bangsa: Menjaga Jiwa dalam Arus Moden.” Beliau menekankan kepentingan sastera sebagai wahana membina jiwa bangsa serta mempertahankan nilai kemanusiaan dalam menghadapi cabaran era moden.

Sesi turut menampilkan YBhg. Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari yang membentangkan “Bicara Pengantar A. Kadir Adabi,” memperkenalkan perjuangan dan pemikiran tokoh besar tersebut dalam perkembangan sastera Melayu.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman, Pengerusi Yayasan Karyawan merangkap Presiden PERADABAN, serta YBrs. Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan yang merasmikan program ini.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya sebagai wadah ilmu dan apresiasi sastera, sekali gus menyemarakkan semangat cintakan bahasa dan budaya kebangsaan dalam kalangan warga kampus dan masyarakat.

🔗 Rakaman siaran langsung boleh diakses melalui pautan YouTube: https://youtube.com/live/zKMr4Kd3Xf4

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply