27 Oktober 2025: Unit Arkib Cawangan (UAC) Perak telah menerima sejumlah 1,526 fail peribadi pelajar daripada Pejabat Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Hal Ehwal Akademik. Penyerahan rekod ini dijalankan di Bilik Arkib, UAC Perak pada 26 Jun 2025 jam 10.00 pagi. Fail tersebut merupakan rekod pelajar yang telah tamat pengajian melebihi tempoh lima tahun dan seterusnya layak untuk ditempatkan ke UAC. Proses seterusnya melibatkan memuat naik rekod ke dalam Archive Management System (AMS) bagi tujuan penyimpanan digital dan rujukan masa hadapan. Warga kampus boleh mengakses maklumat berkenaan melalui Online Finding Archive (OFA) UiTM untuk tujuan penyelidikan atau keperluan rasmi.
Penyerahan rekod ini dilaksanakan selaras dengan Dasar Pengurusan Rekod UiTM yang berkuat kuasa pada 18 November 2020. Dasar ini menggariskan prinsip, tanggungjawab dan keperluan pengurusan rekod secara sistematik di semua peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UiTM. Pelaksanaan dasar ini memastikan setiap rekod yang mempunyai nilai kekal dan signifikan disimpan dengan teratur serta dapat dijadikan sumber rujukan yang sah dan tepat. Pemindahan fail peribadi pelajar ke UAC mencerminkan pematuhan PTJ terhadap garis panduan dan tatacara pemeliharaan rekod universiti.
Secara keseluruhannya penerimaan rekod penting universiti merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UiTM dalam memperkukuh sistem pengurusan maklumat dan warisan institusi. Rekod yang diterima bukan sahaja mempunyai nilai yang tersendiri malah bernilai sejarah dan penyelidikan untuk masa hadapan. UAC berperanan sebagai pemegang amanah dalam memastikan rekod ini disimpan dan diuruskan dengan baik mengikut piawaian pengurusan rekod universiti. Sejajar dengan matlamat UiTM untuk memperkukuhkan tadbir urus yang baik.





Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar