30 September 2025: Program Sukan Antara Program (SUPRO) 2025 sekali lagi menjadikan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar sebagai venue Pertandingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) antara program yang telah berlangsung pada 21 Jun 2025. Acara e-sukan yang semakin popular ini telah menghimpunkan pasukan terbaik daripadaa pelbagai program pengajian di UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar untuk bersaing secara sihat dan profesional.
Pertandingan ini bukan sekadar menguji kemahiran individu malah menuntut strategi, fokus dan yang paling utama adalah kerjasama pasukan yang mantap dan dunia pertempuran maya. Inisiatif penganjuran ini menunjukkan komitmen universiti dalam menyokong perkembangan minat dan bakat pelajar dalam bidang e-sukan yang kini diiktiraf sebagai satu cabang sukan moden. Sepanjang pertandingan berlangsung, suasana di PTAR bertukar menjadi medan persaingan yang rancak dan disemarakkan lagi dengan semangat kesukanan yang padu daripada peserta yang hadir.
Bermula dari jam 8.00 pagi hingga 10.30 malam, setiap perlawanan menyaksikan persembahan yang penuh mendebarkan, mempamerkan keupayaan teknikal dan kebolehan taktikal yang tinggi dalam kalangan peserta. Kualiti permainan yang ditunjukkan amat membanggakan dan mencerminkan dedikasi para pelajar dalam menguasai arena MLBB. Penganjuran sebegini juga memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman bersaing dalam persekitaran yang tersusun dan berdisiplin setanding dengan penganjuran kejohanan e-sukan yang lain. Lebih daripada sekadar meraih kemenangan pertandingan MLBB SUPRO 2025 ini berfungsi sebagai platform efektif untuk memperkukuh jaringan persahabatan dan memupuk semangat setiakawan dalam kalangan pelajar merentas program dan fakulti.







Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar