UiTM Happiness Walk 2025 Semarakkan Gaya Hidup Sihat & Perpaduan

Merbok, 28 Ogos 2025 – UiTM Cawangan Kedah telah menyertai acara tahunan peringkat universiti, iaitu UiTM Happiness Walk 2025 (UHW2025) yang berlangsung serentak di seluruh kampus UiTM. Bertempat di Dataran Ilmu, program ini dianjurkan dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Badlishah, Bahagian Pentadbiran, serta Kelab Staf UiTM Kedah (KSUK). Seramai 120 peserta terdiri daripada warga UiTM telah mengambil bahagian. Acara ini bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform memperkukuh silaturahim antara staf dan pelajar serta menyemarakkan semangat Hari Kemerdekaan.

Penganjuran UHW2025 membawa beberapa objektif utama. Antaranya ialah menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus melalui aktiviti santai yang mampu meningkatkan kecergasan fizikal dan mental. Program ini turut menjadi medium untuk memperkukuh perpaduan dan suasana kekeluargaan di kampus, di samping meningkatkan kesedaran tentang pentingnya keseimbangan hidup melalui aktiviti riadah. Selain itu, pelancaran UiTM Purple Track telah dijadikan simbol komitmen universiti dalam menyediakan kemudahan dan persekitaran kondusif untuk aktiviti sukan serta menyokong budaya riadah secara mampan dan berterusan.

Program bermula seawal jam 7.30 pagi dengan sesi pendaftaran dan taklimat, diikuti aktiviti jalan kaki yang menyeronokkan. Acara kemuncak ialah pelancaran UiTM Purple Track, manakala acara sampingan seperti kuiz kemerdekaan & UiTM serta cabutan bertuah turut memeriahkan suasana dengan penglibatan aktif peserta. Program tamat sekitar jam 11.30 pagi dalam suasana penuh keceriaan. Secara keseluruhannya, UHW2025 berjaya mencapai objektifnya sebagai wadah untuk menggalakkan gaya hidup sihat, menyemarakkan patriotisme, serta memperkukuh hubungan warga UiTM. Sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan 120 peserta membuktikan bahawa program ini telah memberi impak positif kepada komuniti kampus.

Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply