Live@PTAR PSB: Perjuangan Jihad Kemerdekaan di Alam Melayu Nusantara

Merbok, 27 Ogos 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PTAR PSB) UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan program bual bicara dalam talian bertajuk “Perjuangan Jihad Kemerdekaan di Alam Melayu Nusantara” secara langsung melalui saluran YouTube rasmi. Program ini menampilkan Prof. Madya Ts. Dr. Asmadi Mohammed Ghazali, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Kedah sebagai panel jemputan. Penganjuran program ini bertujuan memperkasa kefahaman masyarakat tentang konsep jihad dalam perjuangan kemerdekaan di Tanah Melayu dan rantau Nusantara, di samping menekankan kepentingan sejarah sebagai inspirasi dalam membina negara berdaulat.

Sepanjang sesi yang berlangsung selama satu jam bermula jam 11.00 pagi, Dr. Asmadi telah berkongsi pandangan mendalam mengenai peranan ulama, pejuang tempatan serta tokoh-tokoh penting yang menggerakkan penentangan terhadap penjajahan. Kupasan beliau turut menjelaskan bahawa perjuangan kemerdekaan bukan sahaja berbentuk fizikal, tetapi juga sarat dengan semangat jihad, keberanian, dan keteguhan prinsip. Program ini mendapat sambutan positif dengan 111 penonton secara langsung serta turut disertai dengan interaksi melalui ruangan komen, membolehkan penonton berpeluang bertanya soalan dan berinteraksi secara langsung dengan panel.

Secara keseluruhan, program Live@PTAR PSB kali ini berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberi pendedahan bermakna tentang perjuangan kemerdekaan di Alam Melayu Nusantara. Selain menyemarakkan semangat patriotisme, program ini juga meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap pengorbanan tokoh terdahulu. Penganjuran secara dalam talian melalui platform YouTube membolehkan audiens yang lebih luas mengakses isi kandungan, melangkaui sempadan lokasi. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh pengetahuan sejarah dan menyuburkan semangat cintakan negara.

Penulis : Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply