Live@PTAR PSB: Hebat Bekerja, Hebat Juga Adabnya

Merbok, 12 Ogos 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan program Live@PTAR PSB bertajuk “Hebat Bekerja, Hebat Juga Adabnya”. Program yang berlangsung secara langsung melalui saluran YouTube rasmi perpustakaan ini berjaya menarik seramai 974 peserta dari pelbagai lokasi untuk menyertainya secara maya. Program ini menampilkan penceramah jemputan, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Pegawai Hal Ehwal Islam dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang menyampaikan perkongsian penuh pengisian rohani, berinformasi dan menyentuh aspek penting berkaitan adab serta etika dalam dunia pekerjaan.

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran bahawa kecemerlangan pekerja bukan sahaja diukur berdasarkan prestasi kerja dan kemahiran teknikal, tetapi turut bergantung kepada akhlak dan keperibadian yang ditonjolkan. Ustazah Nazirah menekankan beberapa aspek utama, antaranya kepentingan menepati masa, bertutur dengan sopan santun, menjaga integriti serta amanah, dan mengamalkan semangat kerja berpasukan. Menurut beliau, pekerja yang benar-benar cemerlang ialah mereka yang mampu menyeimbangkan kecerdasan profesional dengan keindahan adab Islam dalam hubungan sesama rakan sekerja, majikan mahupun pelanggan. Justeru, sahsiah unggul perlu dibentuk melalui penghayatan nilai-nilai murni agar wujud budaya kerja yang positif dan harmoni.

Kehadiran peserta yang ramai serta sambutan yang menggalakkan membuktikan bahawa topik berkaitan adab dan etika kerja amat relevan serta mendapat perhatian masyarakat masa kini. Program sebegini diharapkan dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai medium perkongsian ilmu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada warga UiTM, malah kepada komuniti luar. Dengan pengisian yang bermanfaat, program ini diharapkan mampu menjadi inspirasi kepada para pekerja untuk terus memperkukuh budaya kerja positif serta menjadi individu yang hebat, bukan sahaja dari segi prestasi kerja, tetapi juga dari sudut adab, akhlak dan keperibadian.

Penulis : Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply