Live@PTAR PSB: Cermin Diri Sebelum Menuding Jari

Merbok, 20 Ogos 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan program Live@PTAR PSB bertajuk “Cermin Diri Sebelum Menuding Jari” yang disampaikan oleh Puan Norazliza Amil, Timbalan Pegawai Psikologi UiTM Cawangan Kedah. Program ini dijalankan secara dalam talian melalui saluran YouTube PSB dari jam 2.30 petang hingga 3.30 petang. Penganjuran ini bertujuan memberi kesedaran kepada peserta untuk menilai dan memperbaiki diri sendiri sebelum menilai orang lain. Antara objektif utama ialah meningkatkan kesedaran diri dengan mengenali kelemahan dan kekuatan, menggalakkan amalan muhasabah harian, serta memupuk sikap positif yang lebih empati dan kurang menghakimi.

Sesi ceramah yang dikendalikan berjalan lancar dengan pendekatan santai, interaktif dan mudah difahami. Puan Norazliza menggunakan analogi serta contoh-contoh kehidupan seharian untuk menerangkan konsep “mencermin diri” dengan lebih jelas. Beliau menekankan bahawa sikap suka menyalahkan orang lain sering berpunca daripada kelemahan menerima kekurangan diri sendiri. Justeru, langkah pertama untuk menjadi individu yang lebih baik adalah dengan keberanian memperbaiki diri dan berusaha ke arah perubahan positif. Program ini turut memberi ruang interaksi dua hala melalui ruangan komen di YouTube, di mana penonton berpeluang mengemukakan soalan yang dijawab dengan baik oleh penceramah.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan 415 penonton menyertainya secara langsung. Maklum balas yang diterima sangat positif, menunjukkan topik yang dibincangkan bertepatan dengan keperluan masyarakat dalam membina sahsiah diri yang lebih matang dan berakhlak mulia. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya iaitu menyebarkan nilai-nilai positif, meningkatkan kesedaran kendiri, dan menggalakkan budaya muhasabah dalam kehidupan seharian. Ia diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada peserta untuk terus mengamalkan sikap introspektif sebelum menilai orang lain, sekaligus mewujudkan hubungan yang lebih harmoni di tempat kerja dan dalam kehidupan bermasyarakat.

Penulis : Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply