Lawatan Akademik Sekolah Menengah Agama Islah Pendang ke Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Kedah

Merbok, 21 Ogos 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah menerima kunjungan daripada Sekolah Menengah Agama Islah Pendang yang melibatkan seramai 30 orang pelajar dan 3 orang guru pengiring. Lawatan yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 10.30 pagi ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang suasana pembelajaran di universiti serta peranan perpustakaan dalam menyokong kecemerlangan akademik. Program ini juga menjadi platform untuk memperkenalkan perkhidmatan, koleksi, dan kemudahan yang disediakan di perpustakaan selain menjalin hubungan baik dengan institusi pendidikan luar UiTM.

Lawatan ini dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh staf PSB mengenai fungsi dan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu. Pelajar didedahkan dengan pelbagai jenis koleksi bahan bacaan, termasuk buku, jurnal dan majalah, selain kemudahan digital seperti komputer, akses Wi-Fi, serta sistem pinjaman buku. Mereka turut diberikan penerangan tentang etika penggunaan perpustakaan dan teknik pencarian maklumat yang berkesan. Sesi ini bertujuan menanam minat membaca, menggalakkan budaya mencari ilmu, dan memupuk kesedaran tentang kepentingan perpustakaan sebagai pusat sumber rujukan.

Selepas sesi taklimat, para pelajar dan guru diberi peluang untuk meneroka kawasan perpustakaan secara lebih dekat. Mereka melawat aras-aras perpustakaan, meninjau koleksi bahan bacaan yang pelbagai, serta melihat sendiri kemudahan pembelajaran yang ditawarkan. Lawatan ini mendapat sambutan yang sangat positif daripada para peserta, sekali gus menunjukkan keberkesanan program dalam mencapai objektif yang telah digariskan. Diharapkan kunjungan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium membina jalinan kerjasama akademik serta mengukuhkan peranan Perpustakaan Sultan Badlishah sebagai pusat ilmu pengetahuan untuk komuniti setempat.

Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply