Pulau Pinang, 21 Ogos 2025 – Pertandingan Tiny Techies 2025 Peringkat Wilayah Utara telah berlangsung dengan jayanya pada 20 dan 21 Ogos 2025 bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP). Program ini merupakan anjuran MSD Alliances Sdn. Bhd., ICAN UiTMCPP dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), MAKERS IIUM, Sukarelawan Siswa dan PTAR UiTMCPP.
Program selama dua hari ini telah menghimpunkan murid sekolah rendah dan menengah dari negeri-negeri Wilayah Utara iaitu Perak, Pulau Pinang, dan Kedah. Pada hari pertama, peserta sekolah rendah telah mengikuti bengkel asas pengaturcaraan, kawalan robot dan strategi persediaan pertandingan. Pelajar-pelajar sekolah menengah pula telah menyertai Bengkel IoT Innovation berteraskan robotik.


Pada hari kedua menyaksikan dua kategori pertandingan diadakan iaitu Pertandingan Robot Sumo bagi sekolah rendah dan Pertandingan Inovasi Robotik bagi sekolah menengah. Pertandingan ini bukan sahaja memperkenalkan asas pengekodan dan robotik melalui kit Microbit dan robotik, malah memberi peluang kepada peserta untuk mencuba teknologi secara praktikal, sekaligus membangkitkan minat terhadap bidang pengaturcaraan dan robotik.
Majlis perasmian dan penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali, menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bersama Dr. Wan Hazman Wan Daud, Pengarah Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa Malaysia dan Encik Mohd Rashdi Hasan, Ketua Seksyen Kawal Selia SKMM Pulau Pinang.
Pertandingan ini diharap dapat menjadi landasan penting dalam menyokong minat generasi muda terhadap bidang robotik, pengaturcaraan dan teknologi, selaras dengan keperluan kemahiran abad ke-21.