Program Pembudayaan Ilmu: Pertandingan IQRA’ Corner 2025

Merbok, 10 Julai 2025 – Pertandingan IQRA’ Corner merupakan inisiatif galakkan budaya membaca dalam kalangan warga UiTM Cawangan Kedah bagi mencapai negara membaca menjelang 2030 dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK). Ianya juga merupakan inisiatif yang menyumbang kepada pencapaian KPI 5 Bilangan Penyertaan Program Budaya Ilmu, PI universiti iaitu Number of Reading and Literacy Initiatives Conducted/ Coordinated by PTAR dan Knowledge Society.

Pentingnya budaya membaca dalam pembentukan masyarakat berilmu tidak dapat dinafikan, dan UiTM Cawangan Kedah secara proaktif bertekad untuk menyemarakkan amalan ini dalam kalangan warganya. Objektif utama inisiatif ini adalah untuk menggalakkan budaya membaca yang merangkumi setiap lapisan warga kampus, bermula dari pelajar hingga staf. Bagi mencapai matlamat ini, UiTM Cawangan Kedah akan mewujudkan ruang-ruang atau sudut membaca yang bersesuaian di setiap bahagian dan unit, memastikan akses mudah kepada bahan bacaan yang pelbagai. Selain itu, inisiatif “sudut Iqra’” akan diperkenalkan sebagai salah satu pendekatan strategik untuk mewujudkan budaya membaca secara lebih menyeluruh, menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup seharian. Kesemua usaha ini bermatlamat untuk menjadikan membaca sebagai budaya ilmu yang kukuh di UiTM Cawangan Kedah, di mana ilmu pengetahuan terus berkembang dan dimanfaatkan melalui pembacaan yang berterusan.

Perpustakaan Sultan Badlishah telah mengambil inisiatif dalam menganjurkan pertandingan IQRA’ Corner antara Bahagian / Unit di UiTM Cawangan Kedah dalam usaha memupuk budaya membaca dan menghargai nilai-nilai ilmu melalui pengisian sudut bacaan yang kreatif, informatif dan bermanfaat. Pertandingan telah dilaksanakan bermula dari 15Jun 2025 hingga 08 Julai 2025. Sebanyak lima (5) Bahagian / Unit telah menyertai pertandingan ini iaitu Unit Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (Pemenang Tempat Pertama), Bahagian Pentadbiran (Pemenang Tempat Kedua), Unit Residensi & Hospitaliti Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (Pemenang Tempat Ketiga), Unit Psikologi & Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (Hadiah Saguhati) dan akhir sekali Unit Pentadbiran, Disiplin dan Aktiviti Pelajar (UPDA), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (Hadiah Saguhati). Setiap Bahagian / Unit telah mempamerkan kesungguhan, komitmen dan kreativiti tersendiri berdasarkan kriteria / syarat yang telah ditetapkan iaitu:

  1. Lokasi yang strategik di tempat masing-masing
  2. Sudut dilengkapi dengan kemudahan tempat duduk, rak buku, koleksi bahan bacaan dan papan tanda/nama sudut IQRA’ Corner.
  3. Kreatif, menarik dan selesa sebagai tempat untuk membaca.
  4. Muatnaik 6 gambar terbaik di media sosial dan tag laman sosial rasmi Facebook @Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Kedah

Penulis : Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply