16–19 Jun 2025 | World Trade Centre Kuala Lumpur
Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang telah mengharumkan nama institusi apabila berjaya meraih Tempat Ketiga dalam Pertandingan Poster CONSAL Boulevard, sempena Persidangan & Mesyuarat Agung CONSAL ke-19 yang berlangsung pada 16 hingga 19 Jun 2025 di World Trade Centre, Kuala Lumpur.
Pertandingan ini merupakan platform berprestij yang menghimpunkan idea, inovasi dan inisiatif terbaik dari perpustakaan seluruh Asia Tenggara. Ia memberi ruang kepada peserta untuk mempamerkan usaha dan pencapaian perpustakaan dalam pelbagai aspek – dari teknologi, komuniti, hinggalah kelestarian.
UiTM Pahang telah menyertai pertandingan ini dengan poster bertajuk:
Tajuk Poster:
“City Nature Challenge 2025 – Pahang, Malaysia: Memperkukuh Perkongsian Perpustakaan untuk Sains Rakyat”
Poster ini mengetengahkan inisiatif perpustakaan dalam menjalin kerjasama komuniti melalui program Citizen Science yang memfokuskan kepada pengumpulan data biodiversiti secara sukarela oleh masyarakat setempat. Pendekatan ini selaras dengan agenda kelestarian dan penglibatan awam dalam sains. Muniratul Husna Mohamad Zaki (Pembentang) , Ahli Kumpulan terdiri daripada Nurfarawahidah Badruesham, Rosnita Ja’afar, Noor Azliza Aziz, Umi Nadia Jalaludin@Kamarudin, Nor Lailatul Wahidah Musa, Shamsudin Ismail, Norhidayah Salleh, Norizan Abdullah, Mohd Hazairi Ariffin & Nur Izzah Sakina Ahmad Sazali.
Penyertaan dalam pertandingan poster ini membuka peluang pembelajaran dan kolaborasi bersama peserta lain dari pelbagai negara. Ia turut menonjolkan peranan perpustakaan sebagai agen perubahan, bukan sahaja dalam pendidikan, tetapi juga dalam pembangunan lestari dan penglibatan masyarakat.


