Penyertaan Kumpulan ILHAM Dalam Ujibakat Bersasar Innovathon Musim Ke-3

Merbok 27 Mei 2025 – Kumpulan Ilham yang mewakili Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah, telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan menyertai Ujibakat Bersasar Innovathon Musim Ke-3. Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PSB untuk menerajui inovasi dalam perkhidmatan perpustakaan. Kumpulan ini telah memperkenalkan sebuah produk inovasi yang dinamakan Terminal eView, sebuah alat bantuan teknologi yang direka khas untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Penyertaan dan pembangunan inovasi ini berlandaskan beberapa objektif utama yang saling berkaitan. Matlamat utamanya adalah untuk mencipta satu alat bantuan teknologi yang mesra pengguna bagi memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan mendapatkan akses kepada maklumat di perpustakaan. Inisiatif ini secara langsung menyokong agenda pendidikan inklusif dengan memastikan penyediaan kemudahan yang saksama kepada semua lapisan pengguna tanpa mengira keupayaan. Selain itu, projek ini juga bermatlamat untuk menonjolkan keprihatinan dan kesungguhan Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) dalam menghasilkan inovasi perpustakaan yang responsif terhadap keperluan semasa komuniti kampus dan masyarakat luas.

Pada 27 Mei 2025, Ujibakat Bersasar Innovathon Musim Ke-3 telah berlangsung di UiTM Cawangan Melaka. Kumpulan Ilham diwakili oleh Encik Hasrizal Md Hasan, Encik Omar Zainol, dan Puan Noor Azlina Hamzah telah membentangkan inovasi mereka, Terminal eView, di hadapan panel juri. Inovasi ini mendapat perhatian khusus kerana reka bentuknya yang inklusif dan potensinya dalam meningkatkan kebolehaksesan maklumat. Hasil daripada pembentangan yang meyakinkan, Kumpulan Ilham telah berjaya mara ke Peringkat 2 pertandingan tersebut. Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan PSB UiTM Cawangan Kedah, tetapi juga membuktikan keberkesanan inovasi yang dibangunkan dalam memenuhi keperluan sebenar pengguna.

Penulis : Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply