Merbok, 25 Mei 2025 – Program SULAM Antarabangsa ini dianjurkan sebagai inisiatif untuk memupuk semangat kerjasama serantau dan memperkukuh hubungan akademik antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia. Ia merupakan satu platform yang menggalakkan perkongsian ilmu dan kemahiran maklumat antara mahasiswa Diploma Informatik Perpustakaan, UiTM Cawangan Kedah dan mahasiswa dari Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) yang menyediakan khidmat nasihat, kemudahan dan sokongan logistik sepanjang program berlangsung.









Program ini dirangka dengan dwi-objektif utama, iaitu untuk memperkasa pembangunan kemahiran para pelajar Sains Maklumat UiTM Kedah sambil memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat. Sebagai sebahagian daripada keperluan teras kursus IML301 (Library Outreach), program ini memberi peluang keemasan kepada para pelajar Diploma Informatik Perpustakaan semester lima untuk mengaplikasikan teori pembelajaran kepada situasi dunia sebenar. Melalui penganjuran aktiviti ini, mereka dapat mewujudkan kemahiran praktikal dalam merancang dan melaksanakan program, sekali gus memperoleh budaya pembelajaran yang lebih efektif di luar bilik kuliah.



Serentak dengan itu, program ini berfungsi sebagai jambatan ilmu antara universiti dan masyarakat. Objektif utamanya adalah untuk mempromosikan sumber maklumat, perkhidmatan, dan fasiliti yang terdapat di Perpustakaan Sultan Badlishah secara meluas. Melalui aktiviti fizikal dan hands-on yang dijalankan, ia bukan sahaja bertujuan untuk membangunkan kemahiran maklumat dan pengetahuan masyarakat, tetapi juga memastikan impak yang bermanfaat dan berkesan dapat dirasai oleh semua pihak yang terlibat. Justeru, pelaksanaan program ini secara holistik memenuhi matlamat akademik pelajar di samping mengukuhkan peranan universiti sebagai agen penyebaran ilmu kepada masyarakat.


Program SULAM Antarabangsa: Perkongsian Ilmu dan Kemahiran Maklumat Antara Mahasiswa Diploma Informatik Perpustakaan, Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Kedah dan Universitas Airlangga (UNAIR) Indonesia, dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah dilaksanakan pada 25 Mei 2025 dan disertai oleh 30 orang pelajar Diploma Informatik Perpustakaan (CDIM144), 28 orang Pelajar Fakultas Vokasi, Universitas Airlangga serta seorang pensyarah penasihat UiTM iaitu Puan Nordibradini Binti Selamat.
Penulis : Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi