15 Mei 2025: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah menganjurkan Bengkel PERMATA : Penggunaan E-Lib dan My Reading bertempat di Bilik IT 2, PTAR Kampus Seri Iskandar. Bengkel ini telah disertai oleh warga kerja PTAR serta pegawai daripada kalangan staf pentadbiran (Pengurusan dan Profesional) UiTM Cawangan Perak. Program ini dikendalikan oleh dua orang Pustakawan berpengalaman iaitu Encik Muhamad Azim bin A’nsori dan Puan Nur Dayana binti Mohd Narwawi.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memperkenalkan Sistem PERMATA dan platform E-Lib kepada warga UiTM Cawangan Perak di samping menggalakkan penggunaan koleksi digital perpustakaan secara kerap. Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah didedahkan kepada fungsi dan kelebihan Sistem PERMATA sebagai aplikasi utama kepada koleksi digital PTAR. Selain itu, sesi praktikal turut diadakan bagi memberi latihan amali dalam penggunaan E-Lib dan My Reading sekali gus membantu peserta memahami kaedah pencarian maklumat serta akses bahan bacaan digital dengan lebih efektif dan berkesan.
Secara keseluruhannya, maklum balas yang diterima daripada peserta amat memberangsangkan. Mereka menyifatkan bengkel ini sebagai inisiatif yang bernilai dalam meningkatkan kemahiran serta kesedaran mengenai penggunaan sumber perpustakaan secara digital. Sebilangan peserta turut mencadangkan agar bengkel seumpama ini diteruskan secara berkala bagi memastikan penguasaan terhadap sistem perpustakaan digital sentiasa relevan dan terkini. Program seperti ini amat signifikan dalam menyemarakkan budaya literasi digital serta menyokong transformasi digital dalam bidang pendidikan dan pengurusan maklumat.







Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar