Program Madrasah Visit & Exchange of Knowledge 5.0 Perkasa Perkongsian Ilmu di UiTM Cawangan Pulau Pinang

Pulau Pinang, 25 April 2025 – Program Madrasah Visit & Exchange of Knowledge 5.0 telah dilaksanakan dengan jayanya di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP). Program edisi kelima ini merupakan inisiatif bersama antara Jabatan Sains Komputer & Matematik, Akademi Pengajian Bahasa dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTMCPP. Ia bertujuan memperkukuh jalinan ilmu dan kefahaman merentas institusi pendidikan, khususnya antara pelajar institusi tahfiz dan warga akademik universiti. Seramai 27 pelajar dari Maahad Riyadhil Quran, Sungai Petani, Kedah telah menyertai program ini yang memberi peluang kepada mereka untuk meneroka ilmu dalam suasana akademik yang kondusif.

Sesi pagi yang bermula jam 9.00 pagi telah dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah Jabatan Sains Komputer & Matematik, dengan memberi pendedahan kepada pelajar tentang asas penggunaan Microsoft PowerPoint. Dalam sesi ini, peserta telah diberi tunjuk ajar secara praktikal bagaimana membina dan mereka bentuk slaid pembentangan asas menggunakan PowerPoint. Antara objektif sesi pagi ini ialah mengenali fungsi PowerPoint sebagai satu alat pembentangan, menghasilkan slaid PowerPoint yang lengkap mengandungi elemen-elemen seperti teks, imej, animasi dan transisi peralihan slaid, meningkatkan kemahiran ICT dalam kalangan pelajar madrasah dan menggalakkan kemahiran pembentangan secara kreatif dan tersusun.

Pada sebelah petang, sesi diteruskan dengan Program Bacaan Pantas yang dikendalikan oleh Encik Muhammad Luqman Al-Hakim Hanafiah, Pembantu Pustakawan bersama 2 orang fasilitator dari PTAR dan 5 orang pensyarah dari Akademi Pengajian Bahasa UiTMCPP. Program ini bertujuan untuk mendedahkan teknik membaca pantas dan efisien, meningkatkan kelajuan membaca tanpa menjejaskan pemahaman dan memupuk minat membaca secara lebih aktif dan fokus.

Program sehari ini bukan sahaja memberi manfaat akademik, malah menjadi platform interaksi dan perkongsian ilmu antara institusi pendidikan tinggi dan pelajar madrasah. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply