24 Februari 2025 – Program Padanan NIAGA 2.0 : Menangani Cabaran 2025 telah dilaksanakan dengan jayanya di Ruang Library Community Engagement, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP). Program ini dianjurkan secara kolaboratif oleh PTAR UiTMCPP, Excellent Rich Marketing, Hakim Academy Sdn. Bhd. dan Nas Aircond bertujuan untuk menyediakan platform perkongsian ilmu dan jaringan perniagaan, sekaligus menyokong usahawan dalam menghadapi cabaran ekonomi masa kini.
Program yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini telah menarik penyertaan daripada komuniti luar serta staf UiTM. Ia menampilkan tiga penceramah jemputan yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan pembangunan usahawan.
Tirai program dimulakan dengan sesi oleh YBhg. Dato’ Seri Abdul Malik Abdullah, Pengerusi Federation of Malaysian Business Associations yang berkongsi pengalaman beliau sejak mula berkecimpung dalam dunia perniagaan. Beliau menekankan pentingnya ketahanan dan inovasi dalam menghadapi cabaran ekonomi global. Peserta juga diberi peluang untuk bertanya pendapat beliau mengenai perjalanan perniagaan mereka, menjadikan sesi ini sangat interaktif dan bermakna.

Sesi kedua diteruskan oleh Puan Saudah Mat Isa, Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia @ Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Bahagian Utara. Beliau memberikan penjelasan tentang peranan MATRADE dalam membantu peniaga tempatan untuk berkembang di peringkat antarabangsa. Beliau turut berkongsi maklumat tentang program dan insentif yang disediakan oleh MATRADE untuk menyokong usahawan.
Sebelum program berakhir, penceramah ketiga daripada Hakim Academy Sdn, Bhd., Hj. Jamalludin HM, telah memberikan suntikan motivasi kepada peserta dengan berkongsi strategi dan tips untuk kekal bersemangat dalam menghadapi cabaran perniagaan. Sesi beliau berjaya membangkitkan semangat peserta untuk terus berusaha dan berinovasi.


Peserta yang terpilih turut diberi peluang untuk memperkenalkan perniagaan masing-masing semasa program ini berlangsung. Sesi ini bukan sahaja membolehkan peserta berkongsi idea malah membuka ruang untuk jaringan perniagaan antara peserta. Selain daripada sesi perkongsian ilmu perniagaan, peserta juga berpeluang melawat reruai-reruai yang disediakan termasuk daripada Bank Islam, Bank Rakyat, MFF Green Technology, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Kamer AlMuhibbah dan Affin Bank.
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan