9 Januari 2025 – Program Kolokium Pengurusan Makanan dan Pelancongan Halal yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah berlangsung dengan jayanya pada 8 dan 9 Januari 2025. Bertempat di ruang LCE, PTAR UiTMCPP, program ini telah disertai oleh 530 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar CTU 265.
Program yaang berlangsung selama dua hari ini menampilkan ceramah oleh barisan penceramah jemputan yang menyentuh beberapa topik berkaitan pengurusan makanan dan pelancongan halal. Selain daripada itu, sesi perkongsian ilmu oleh para pelajar CTU 265 turut diadakan dan mereka telah dinilai oleh juri-juri yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTMCPP.
Majlis penutup pada 9 Januari disempurnakan oleh Ustaz Hisyam Mohd Radzi, Koordinator ACIS, yang turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Turut hadir ialah Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR UiTMCPP untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan dan aktiviti yang dianjurkan sepanjang program tersebut.
Program ini mencerminkan komitmen UiTMCPP dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap pentingnya pengurusan halal, bukan sahaja dalam industri makanan tetapi juga sektor pelancongan, demi menyokong pembangunan ekonomi negara selain memberikan perkhidmatan dan kemudahan yang terjamin kehalalan dan kebersihannya.
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan