Pada 4 November 2024, PTAR UiTMCPP Kampus Bertam dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah berjaya menganjurkan program Ceramah Pemerkasaan Pengguna Tahun 2024. Ceramah yang bertempat di ruang Learning Community Engagement (LCE) PTAR ini menampilkan wakil daripada Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) sebagai penceramah utama.
Dengan kehadiran 51 peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf UiTM, program ini memberikan pendedahan mendalam mengenai hak dan tanggungjawab pengguna, kecekapan tenaga, serta isu penipuan kewangan digital yang kian berleluasa. Ceramah ini disampaikan secara interaktif, merangkumi strategi melindungi hak pengguna, panduan menjimatkan tenaga, dan langkah pencegahan penipuan dalam talian.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peserta mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, khususnya dalam era digital yang serba mencabar. Selain itu, ia juga memberikan pengetahuan tentang kecekapan tenaga dan langkah-langkah penjimatan yang boleh diamalkan.
Peserta turut didedahkan kepada jenis-jenis penipuan kewangan digital yang semakin berleluasa, bersama panduan untuk mengelak daripada menjadi mangsa. Melalui ceramah ini, peserta diharap dapat menjadi pengguna yang lebih bijak, berdaya tahan, dan bersedia menghadapi cabaran teknologi moden.
Pada masa yang sama, program ini memperkukuhkan kefahaman peserta tentang peranan penting FOMCA dalam melindungi hak-hak pengguna di Malaysia.