Program Vitamin Ilmu Bersama SK Chabang Empat

Pada 9 Mei 2024 (Khamis), Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) Kampus Machang telah mengadakan Program Vitamin Ilmu bersama SK Chabang Empat (SKCE), Tumpat Kelantan bertempat di aras atas PTA. Program ini melibatkan seramai 38 orang murid sekolah yang terdiri daripada pengawas pusat sumber sekolah dan turut hadir bersama guru pengiring seramai 6 orang.

Program ini merupakan satu inisiatif PTA dalam pembudayaan ilmu dan perkongsian pengetahuan atau wakaf ilmu yang melibatkan komuniti setempat untuk menyemarakkan semangat belajar sehingga ke menara gading serta mendedahkan kepada suasana pembelajaran di IPTA khususnya dalam pencarian maklumat.

Antara pengisian bagi program kali ini adalah:

  • Sesi taklimat pengenalan perpustakaan dan peranan pengawas PSS

Taklimat ini telah dikendalikan oleh Puan Norfitriah Mat Seman (Pustakawan Kanan) yang memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai perpustakaan terutamanya perkhidmatan yang disediakan, koleksi yang ada serta pengenalan mengenai kerjaya pustakawan dan lain-lain. Turut diselitkan juga sesi pemantapan pengawas PSS melalui perkongsian mengenai pengalaman, kepimpinan dalam bidang tugas masing-masing dan memberi pendedahan kepada murid dengan kemahiran khusus dalam pengurusan bidang pengawas terutama sekali pusat sumber.

  • Latihan dalam kumpulan (LDK)

Latihan berkumpulan yang diketuai oleh Dr. Muslim Ismail@Ahmad (Pustakawan Kanan), dibantu oleh Encik Mohd Hamka Hj Hamzah (Pembantu Pustakawan Kanan), beberapa orang staf PTA. Para murid dibahagikan kepada 4 kumpulan dan aktiviti bagi LDK ini adalah aktiviti Jawi di mana setiap kumpulan perlu menukarkan ayat daripada Rumi kepada Jawi.

Program diakhiri dengan majlis menandatangani perjanjian rakan strategik antara PTA dan sekolah atas dasar aspek pembangunan pusat sumber yang ditandatangani oleh Puan Alina Hussein (Timbalan Ketua Pustakawan) PTA dan Encik Zul Azura Ariffin (Guru Besar SKCE). Diakhiri dengan ucapan daripada kedua-dua wakil PTA dan sekolah seterusnya diikuti dengan sesi penyampaian cenderahati kepada pihak sekolah oleh PTA dan sesi bergambar.

Pihak Perpustakaan Tengku Anis (PTA) mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak SK Chabang Empat atas kesudian untuk bekerjasama buat kali keduanya bagi menganjurkan program ini. Pihak PTA akan terus menyokong serta bersedia untuk berkerjasama lagi bagi program serta aktiviti pada masa akan datang. Semoga ukhuwah yang dibentuk antara PTA dan sekolah akan terus berkekalan.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply