Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi telah menerima kunjungan hormat daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Terengganu sesi 2023/2024 pada 18 Mac 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat Khazanah jam 9.00 pagi. Kunjungan hormat yang diketuai oleh Timbalan Naib Yang Di-Pertua 1 (Kepimpinan) Cik Nur Syahida Syafiqah binti Noralimi bersama tiga lagi barisan exco iaitu Exco Komunikasi, Korporat, Informasi & penerbitan, Encik Mohd Iman Haikal bin Che Nor Salahuddin, Exco Keusahawan & Kesukarelaan, Cik Aufa Irdina bin Hassan, dan Exco Kerohanian, Khidmat Siswa & Kebudayaan, Encik Muhammad Ilhami Fathi bin Helmizul bertujuan memperkenalkan lantikan baharu MPP bagi sesi kali ini dan pada masa yang sama untuk mengenali dengan lebih dekat pengurusan unit-unit di UiTMCT Kampus Bukit Besi.
Kunjungan hormat ini dimulakan dengan sesi Taklimat Perpustakaan oleh Ketua Unit Perpustakaan, Encik Mohd Shahnizam bin Mat Zain, bagi memberi gambaran sebenar kepada MPP berkenaan perpustakaan termasuklah dari segi latarbelakang, carta organisasi, perkhidmatan, kemudahan dan sebagainya. Usai sesi taklimat, sesi soal jawab diteruskan bagi menjawab segala persoalan yang dikemukakan mengenai perpustakaan.
Dalam pertemuan singkat ini, perbincangan dua hala antara MPP dan juga pihak Perpustakaan banyak menyentuh perkara berkaitan perkhidmatan perpustakaan kepada pelajar. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan Pengunjung perpustakaan, Program Pendidikan Pengguna, bahan bacaan ringan, strategi perpustakaan dalam mempromosikan perpustakaan dan banyak lagi. Pada masa yang sama, luahan Ketua Perpustakaan kepada MPP juga turut dizahirkan di dalam pertemuan ini yang berkaitan dengan kehadiran pengunjung ke perpustakaan khususnya pada waktu malam sepanjang minggu perpustakaan yang amat tidak memuaskan.
Di akhir pertemuan, Ketua Perpustakaan berharap kerjasama dan komitmen MPP dalam membantu perpustakaan mempromosikan perpustakaan dan menarik ramai pelajar memanfaatkan perpustakaan di samping bercadang untuk bekerjasama dengan pihak MPP dalam melaksanakan program-program akan datang khususnya yang berkaitan dengan alumni. Secara tidak langsung, input daripada perbincangan ini sedikit sebanyak dapat menambah baik perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna pada masa hadapan. Diharap perjumpaan ini mampu memberikan impak yang positif kepada kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan perpustakaan kepada semua warga UiTM Cawangan Terengganu.
Penulis: Encik Mohd Hilmi Shahrin Mohd Kamal, Pembantu Pustakawan Kanan