Kempen 1 Staf 1 Buku

27 Februari 2024 (Selasa) – Merealisasikan saranan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi telah menganjurkan Kempen “1 Staf 1 Buku” bertempat di Bangunan Perdana, Bangunan Ilmuan dan Kolej Kediaman UiTMCT Kampus Bukit Besi. Kempen ini dimulai dengan menyasarkan staf pentadbiran termasuk staf profesional dan staf pelaksana dengan menerapkan objektif utama iaitu memupuk semula budaya membaca yang kian tenggelam dek arus pemodenan teknologi serta bertepatan dengan tagline baharu Perpustakaan UiTM iaitu “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa”.

Penganjuran kempen ini sekali lagi dijayakan dengan kolaborasi bersama Perpustakaan Desa Bukit Besi, mendapat sambutan yang memberangsangkan dari kalangan warga UiTM ini. Pinjaman berkelompok dari Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun juga banyak membantu dalam memenuhi keperluan semasa warga kampus yang dahagakan bahan-bahan terbaharu terutamanya novel-novel yang viral dan penulis yang terkenal. Ekoran kekangan masa dan komitmen masing- masing di pejabat menyukarkan untuk datang secara fizikal ke perpustakaan. Jadi, kali ini perpustakaan cuba memperkasakan kempen yang diibaratkan sebagai “Perpustakaan Bergerak” ini bagi memenuhi permintaan staf untuk mendapatkan buku yang dikehendakinya. Perpustakaan juga membuka peluang kepada staf untuk mencadangkan buku-buku lain untuk dibekalkan pada bulan hadapan.

Warga UiTM tidak melepaskan peluang untuk meminjam buku yang disukai mereka. Rata- rata memberi maklum balas yang positif mengenai kempen ini. Kempen ini juga mendapat perhatian dan sokongan daripada Yang Berusaha Penolong Rektor UiTMCT Kampus Bukit Besi, Dr. Baktiar Musa yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Pustakawan serta staf perpustakaan atas inisiatif ini. Diharapkan kempen ini menjadi pemangkin kepada program “Book Review” 1 Staf 1 Buku yang akan dianjurkan oleh perpustakaan nanti. Staf perpustakaan meluangkan masa sekitar 45 minit hingga 1 jam di setiap tempat.     

Penulis: Cik Norairin Natasya Zulkifli, Pembantu Pustakawan

Mohd Shahnizam Mat Zain Per. Cendekiawan Bukit Besi Terengganu

Leave a Reply