23 Januari 2024 : Seusai lawatan kerja PTAR Undang-Undang pada sebelah pagi Selasa 23 Januari 2024, delegasi PTAR Undang-Undang seramai 9 orang telah meneruskan lawatan kerja ke Perpustakaan Abu Yusuf Yakub Al-Khindi, Jabatan Peguam Negara di sebelah petangnya.
Delegasi telah disambut oleh Encik Mohd Haris bin Kasim, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan, AGC, Encik Mohammad Zaki, Pustakawan Kanan dan staf-staf perpustakaan. Para delegasi telah diberikan penerangan berkaitan perkhidmatan dan koleksi-koleksi undang-undang yang terdapat di perpustakaan. Di antara koleksi bernilai tinggi adalah buku deraf cadangan Perlembagaan Persekutuan Untuk Tanah Melayu 1946, Buku Pindaan Kanun Keseksaan (Penal Code) 1935 Persekutuan Tanah Melayu, Laporan Undang-Undang, Black Book dan sebagainya.
Sepanjang lawatan ini berlangsung, delegasi telah dibawa ke sekitar perpustakaan, ruang speaker’s corner dan berpeluang mempelajari secara dekat bagaimana proses kemas kini pindaan akta dibuat oleh 2 orang pembantu pustakawan. Semoga lawatan ini dapat memberikan manfaat dan nilai perkongsian ilmu kepada kedua belah pihak dan secara tidak langsung membuka ruang kolaborasi yang produktif di masa akan datang. Sesungguhnya kesedaran memahami ilmu undang-undang ini menunjukkan betapa pentingnya tugas menjaga dan memulihara sumber khazanah negara yang menjadi kekuatan prinsip Rukun Negara ketiga dan keempat : Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.