Lawatan Kerja PTAR Undang-Undang (PUU), UiTM Shah Alam ke Perpustakaan Kehakiman Malaysia, Istana Kehakiman Putrajaya

23 Januari 2024 : Seramai 9 orang staf PTAR Undang-Undang, UiTM Shah Alam telah mengadakan lawatan kerja ke perpustakaan khusus iaitu Perpustakaan Kehakiman Malaysia, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Objektif lawatan ini adalah untuk melihat amalan terbaik cara pengurusan koleksi bahan-bahan rujukan undang-undang negara yang sentiasa aktif dirujuk serta menambahkan pemahaman berkaitan tatacara penggunaan sumber bahan yang dikendalikan oleh kedua-dua perpustakaan disamping membuat sedikit perbincangan mengenai aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak melalui jalinan kolaborasi antara perpustakaan.

Delegasi PTAR Undang-Undang diketuai oleh Puan Hanani Binti Rojikin, Ketua Perpustakaan Fakulti, PTAR Undang-Undang bersama-sama 2 orang Pembantu Pustakawan Tertinggi dan 6 orang Pembantu Pustakawan Kanan. Seawal jam 10.00 pagi lawatan telah dimulakan dengan kunjungan ke Perpustakaan Kehakiman Malaysia, Istana Kehakiman dengan kedatangan disambut oleh Pn. Shazlin Azni, (Ketua Pustakawan), Pn. Manorrazila (Pustakawan Kanan), En. Mohd Fathi Asmawi (Penolong Pustakawan) dan staf perpustakaan yang lain. Delegasi lawatan telah diberikan penerangan berkaitan operasi perkhidmatan dan koleksi rujukan oleh En. Mohd Fathi Asmawi. Di dalam lawatan ini juga, delegasi telah diperlihatkan sumber bahan undang-undang yang sering dirujuk oleh Yang Amat Arif dan Yang Arif Hakim-Hakim, proses pendigitalan bahan-bahan lama dan penerangan ringkas bagaimana pindaan akta dilaksanakan. Sebelum mengakhiri lawatan, delegasi telah dibawa ke Muzium Kehakiman serta berpeluang memasuki salah satu ruang Kamar Mahkamah Rayuan yang terdapat di bangunan tersebut.

Hanani Rojikin PUU Shah Alam

Leave a Reply