Segamat, 13 Disember 2023 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat (PTDI) bakal menjalinkan kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Segamat (PPD) dengan penganjuran program atau wacana bagi memperkasakan hubungan antara perpustakaan pengajian tinggi dan pusat sumber sekolah.
Pustakawan Kanan, Encik Ahmad Akmal bin Mohd Idris berkata, usaha tersebut sebagai satu langkah progresif dalam menggerakkan bidang perpustakaan ke arah yang lebih inklusif dan proaktif. Diharapkan kerjasama ini akan membawa manfaat kepada pelajar dalam pemahaman terhadap perpustakaan serta menjadi asas penting dalam memupuk dan mengembangkan kemahiran Guru Perpustakaan Media dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah, menyediakan mereka dengan ilmu yang diperlukan untuk memberi khidmat yang lebih efektif dan relevan kepada pelajar.
Menurut Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Mawar Noor binti Abdullah, kerjasama itu nanti akan membuka ruang lebih luas kepada pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah untuk lebih mengenali serta memahami teknologi yang terdapat di perpustakaan pengajian tinggi.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Puan Noor Aniza Shahrina binti Johan Shah berharap agar perkara yang dibincangkan bagi kerjasama strategik tersebut merupakan satu perkembangan positif antara perpustakaan pengajian tinggi dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah dalam bergabung tenaga bagi menganjurkan sesuatu program yang berimpak.
Kerjasama yang sedang dirangka antara Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UiTM Kampus Segamat (PTDI) dan Pejabat Pendidikan Daerah Segamat (PPD) menandakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan yang erat antara institusi pengajian tinggi dan pusat sumber sekolah. Dengan fokus pada pemahaman terhadap ilmu pengurusan perpustakaan dan peningkatan kemahiran, inisiatif ini tidak hanya memberi peluang kepada pelajar untuk mengeksplorasi dunia perpustakaan, tetapi juga memberdayakan Guru Perpustakaan Media dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah dengan pengetahuan yang relevan untuk mengemudi perkhidmatan yang lebih efektif dan bersesuaian.
Penglibatan mesyuarat kerjasama antara PTDI Kampus Segamat dan PPD Segamat. Dari Kiri : Encik Nasruhuda bin Mastor (Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Segamat), Puan Noor Aniza Shahrina binti Johan Shah (Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Segamat), Puan Mawar Noor binti Abdullah (Timbalan Ketua Pustakawan, PTDI Kampus Segamat), Encik Ahmad Akmal bin Mohd Idris (Pustakawan Kanan, PTDI Kampus Segamat), Encik Mohammad Azhari bin Ja’afar (Pembantu Pustakawan, PTDI Kampus Segamat).
Penulis : Muhamad Faizul Azwan bin Jalil, Pembantu Pustakawan