Lawatan Sambil Belajar Sahabat Surau Nurul Iman ke PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang

15 Disember 2023 – PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) Kampus Permatang Pauh telah menerima kunjungan lawatan sambil belajar dari Sahabat Surau Nurul Iman, Taman Serai Wangi Fasa 1, Padang Serai, Kulim, Kedah. Lawatan ini disertai oleh 41 orang pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah bersama 4 orang pengiring yang terdiri daripada kariah Surau Nurul Iman.

Kehadiran sahabat surau ini merupakan jalinan yang julung-julung kali diadakan di antara PTAR UiTMCPP dengan Sahabat Surau Nurul Iman. Lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai perpustakaan UiTMCPP dan diikuti dengan Program Speed Reading yang dikendalikan oleh Puan Farleen Azrina Zamberi, Pustakawan Kanan di PTAR UiTMCPP. Program ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta bagaimana mengaplikasi teknik bacaan pantas dalam pembacaan seharian serta meningkatkan ingatan dan cara berfikir. Mereka turut diberikan latihan asas untuk pemahaman yang lebih baik mengenai bacaan pantas.

Seterusnya, peserta turut mengikuti aktiviti ExploREAD yang melibatkan 3 cabaran iaitu aktiviti K-A-Ranger Challenge, Card Tower Challenge dan Word Swatter Challenge. Peserta telah dibahagikan kepada 5 kumpulan dan perlu menyelesaikan cabaran yang diberikan di dalam kumpulan. Aktiviti ini dapat memupuk semangat berpasukan selain memacu minda kreatif dan pengetahuan ahli kumpulan tentang perpustakaan. Di akhir program, para peserta gembira menerima hadiah kemenangan kumpulan masing-masing serta bergambar bersama-sama staf perpustakaan sebelum menikmati jamuan makan tengah hari yang telah disediakan.

Avatar photo
PTAR Kampus Permatang Pauh

Leave a Reply