25 September 2023 – Perpustakaan Tun Abdul Razak Kampus Tapah Cawangan Perak telah mengadakan program “1 Staf, 1 Buku”. Program ini melibatkan 8 orang staf perpustakaan dan 2 orang pelajar latihan industri. Program ini adalah untuk menyokong aspirasi Read@UiTM iaitu pemerkasaan program galakan membaca di institut Pengajian Tinggi khususnya di UiTM.
Menurut Kajian Profil Membaca yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2022 mendapati, purata membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah, iaitu kurang daripada tiga jam seminggu manakala mengikut laporan Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trends 1985-2015 terbitan Unesco Institute for Statistics menyatakan, secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun.
Program “1 Staf, 1 Buku” ini dijalankan sepanjang hari bermula dengan mengkehendaki staf untuk melakukan pinjaman buku yang ada dalam koleksi perpustakaan. Selepas itu, staf perlu menghabiskan naskah yang telah dipinjam serta melakukan sedikit ulasan ringkas mengenai bahan yang telah dibaca kepada staf yang lain pada waktu sebelah petang. Pelbagai pengetahuan baharu yang diperoleh oleh staf setelah melakukan aktiviti perkongsian ini.
Dengan wujudnya program seperti ini, sifat galakkan minat membaca antara staf dapat dipupuk di samping membantu juga dalam meningkatkan statistik peminjaman bahan di perpustakaan.
Diharapkan program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa yang akan datang bagi mewujudkan kesedaran membaca dalam kalangan warga kerja khususnya di UiTM.