Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Kampus Puncak Alam UiTM Cawangan Selangor telah berbesar hati menerima jemputan Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang, Daerah Kuala Langat, Selangor sebagai penceramah Program Bacaan Pantas bersempena dengan Program Intervensi BASTOP yang dianjurkan oleh pihak sumber sekolah. Ceramah bagi Program Bacaan Pantas ini telah disampaikan oleh Puan Nurul Diana Binti Jasni (Timbalan Ketua Pustakawan) PTAR Kampus Puncak Alam UCS kepada murid-murid Tahun 4hingga 6 seramai hampir 600 orang.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan penerangan kaedah membaca dengan pantas serta lebih berkesan kepada murid-murid SK Telok Panglima Garang. Kaedah dan teknik yang berkesan ini akan meningkatkan kuantiti dan kualiti pembacaan serta membantu tahap intelektual murid. Ia membantu untuk menggalakkan pembacaan murid terutama bagi meningkatkan program Nilam di sekolah dan membantu dalam pencapaian program tersebut. Sepanjang program ini berlangsung, murid-murid turut didedahkan dengan beberapa aktiviti seperti ujian tahap bacaan, uji minda serta latihan mata. Usaha ini diharapkan dapat memupuk minat dan amalan membaca bahan-bahan bacaan yang lebih berfaedah kepada para pelajar sekolah ini.
Simbolik penganjuran program ini merupakan sesi sumbangan buku sebanyak 168 naskah kepada Pusat Sumber Sekolah (PSS) SK Telok Panglima Garang. Sesi penyerahan sumbangan buku tersebut telah diwakili oleh Encik Hazrul Amir Bin Tomyang (Pustakawan Kanan) kepada Guru Besar SK Telok Panglima Garang iaitu Dr. Junaidah Binti Arsad dan Cikgu Muhammad Hanis Bin Ahmad (Perantisan NPQEL) selaku Pengerusi program ini. Program ini juga adalah salah satu bentuk usaha Tangggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diberikan oleh pihak Perpustakaan PTAR khususnya kepada komuniti luar. Program ini juga diharap dapat menyahut Kempen Galakan Membaca seiring dalam menyokong salah satu prinsip Sustainable Development Goals (SDGs) iaitu Pendidikan Berkualiti.