Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) telah menganjurkan Karnival Perpustakaan UiTMCT 2023 pada 20 hingga 22 Jun yang lalu. Program yang ini bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 3.00 petang setiap hari penganjurannya adalah bertempat di Bangunan Annex Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Dungun, dengan penganjuran pelbagai booth pameran maklumat dari bahagian dalam dan agensi luar UiTMCT. Simbolik penganjuran karnival di bangunan Annex yang baharu disediakan ini adalah untuk memaklumkan umum bahawa bangunan ini telah dibuka kepada orang ramai sejak pembinaannya pada 2008 yang lalu. Pelbagai aktiviti dengan hadiah menarik ditawarkan kepada pengunjung yang terbuka daripada warga UiTMCT dan komuniti setempat.
Objektif utama penganjuran karnival ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelanggan perpustakaan,warga UiTMCT dan komuniti setempat mengenai fungsi dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan di Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT. Dalam masa yang sama, ianya juga boleh dijadikan sebagai platform perkongsian maklumat mesra pengguna melalui penerangan bersemuka dan beberapa aktiviti atas talian. Secara tidak langsung karnival seperti dapat mendekatkan perpustakaan dengan pengguna warga UiTMCT dan komuniti setempat. Kolaborasi strategik yang dijalinkan bersama bahagian/fakulti/agensi luar dalam menjayakan karnival ini sedikit sebanyak menjalinkan hubungan baik dalam meluaskan rangkaian dan jaringan perpustakaan.
Sebanyak 13 buah booth pameran dengan pelbagai informasi disediakan kepada pengunjung. Selain booth dari perpustakaan, bahagian dalaman UiTMCT seperti Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Unit Kunseling & Kerjaya juga dijemput untuk sama-sama menjayakan Karnival ini. Kerjasama strategik bersama agensi luar UiTMCT juga dijalinkan dengan penyertaan pameran sebanyak tujuh agensi luar iaitu:-
- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
- Agensi Anti Dadah Kebangsaan
- Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Cawangan Terengganu
- Balai Bomba dan Penyelamat Dungun
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu
- Tribunal Pengguna
- Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO)
Selain sokongan pengurusan UiTMCT, sumbangan dan tajaan daripada pelbagai agensi seperti Highbase Strategic Solution Sdn. Bhd., KOPETRO, McDonald’s Dungun, JS Store, The Dapo, MK Furniture, Kakeytea, dan individu perseorangan telah banyak membantu menjayakan program ini. Jalinan kerjasama bersama MASMED UiTMCT juga turut memeriahkan karnival dengan menyediakan foodtrucks dan tapak jualan makanan yang dibuka kepada orang ramai di ruangan tempat letak kereta Dewan Jasmin, berhadapan bangunan perpustakaan.
Di samping hadiah dan saguhati disediakan kepada pengunjung di setiap booth pameran, e-merit juga disediakan kepada pelajar UiTMCT, manakala semua pengunjung diberikan e-sijil penyertaan sebagai penghargaan. Statistik keseluruhan pengunjung Karnival Perpustakaan UiTMCT 2023 amat memuaskan dengan mencatatkan seramai 1,600 orang pengunjung yang telah hadir memeriahkan karnival yang diadakan sepanjang tiga hari ini. Majlis Perasmian Penutup Karnival Perpustakaan UiTMCT 2023 telah diadakan pada 22 Jun 2023, Khamis, pukul 12.00 tengahari dan dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh, Rektor UiTMCT.
Secara keseluruhannya, penganjuran Karnival Perpustakaan UiTMCT 2023 ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan dengan jayanya. Semoga ianya dapat meningkatkan penggunaan kemudahan, perkhidmatan dan sumber perpustakaan UiTMCT yang disediakan perpustakaan pada masa akan datang.
Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan