Program Mengecat Jalur Gemilang Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT

Sempena menyambut Hari Malaysia 2022, Perpustakaan Cendekiawan  UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun telah  mengadakan aktiviti dalaman mengecat Jalur Gemilang sepanjang empat meter bertempat di ruang bacaan majalah. Aktiviti yang diadakan sehari sebelum Hari Malaysia ini telah disertai oleh seramai dua puluh orang staf dan seorang pelajar praktikal dari Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Shah Alam.

Program ini merupakan julung kali diadakan oleh Perpustakaan Cendekiawan di dalam bangunan perpustakaan, dan ianya merupakan salah satu inisiatif yang murni untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan kemerdekaan di kalangan warga staf perpustakaan.

Di samping itu, jamuan makan pagi secara pot-luck juga turut diadakan bagi mengeratkan silaturahim dan semangat muhibah di kalangan staf. Adalah diharapkan program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang serta dijadikan sebagai aktiviti tahunan bahagian. Jalur Gemilang yang telah siap dicat dipamerkan di bangunan perpustakaan setiap kali bulan kemerdekaan. Secara keseluruhannya, aktiviti ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply