Pada 27 Mei 2022, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) Kampus Permatang Pauh telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (PJIM&A), Profesor Madya Ts. Dr. Kay Dora Abd. Ghani. Kunjungan ini diketuai oleh Encik Nurulizwan Amir, Pustakawan Kanan dari Unit Penyelidikan, Pembelajaran dan Rujukan (UPPR) bersama tiga orang Pembantu Pustakawan Kanan.
Antara tujuan utama kunjungan hormat ini adalah untuk menerangkan fungsi serta perkhidmatan yang telah disediakan oleh UPPR dalam menyokong pengajaran dan penyelidikan warga kampus. Selain itu, beberapa perkara turut dibincangkan bersama iaitu berkenaan isu-isu penerbitan dalam sistem PRIMe antaranya kesilapan semasa mendaftarkan bahan serta kategori bahan yang boleh didaftarkan di dalam sistem PRIMe.
Di samping itu, perbincangan diteruskan dengan isu berkaitan H-Index, data penerbitan pensyarah UiTMCPP serta kekeliruan pengiktirafan Quartile dari JCR (WoS) dan SJR (SCOPUS).
Melalui perbincangan dua hala tersebut, PTAR akan berkolaborasi bersama PJIM&A UiTMCPP bagi mengadakan Taklimat Pendaftaran & Verifikasi Bahan Penerbitan di Sistem PRIMe kepada semua warga fakulti untuk memberi penerangan dan kefahaman tentang isu-isu yang telah dibangkitkan. Semoga kerjasama serta hubungan baik antara bahagian ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Sepanjang sesi perbincangan berlangsung
Disediakan oleh : Puan Rafidah binti Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan