Pada 14 April 2022 Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin telah mengendalikan Program Live@PTAR UiTMCM Siri 3/2022 – Taklimat Perkhidmatan Perpustakaan Digital PTAR. Program ini adalah program sinergi dengan pihak berpengalaman serta berpengetahuan, iaitu dari PTAR UiTM Shah Alam untuk berkongsi maklumat semasa dan terkini terutama dalam situasi endemik yang nyata masih belum reda. Selain memenuhi strategi pelan tindakan bersepadu 5 iaitu Pemerkasaan Literasi Maklumat Berkonsep 3A (Anywhere, Anytime, Anyone), PTAR juga dapat mencapai komponen dekad membaca kebangsaan antaranya melalui teras pendidikan sepanjang hayat. Dengan sasaran meningkatkan pengetahuan dalam kalangan kakitangan, pelajar dan komuniti, program ini mampu memberi impak besar terhadap cabaran masa kini dalam keperluan harian.
Program Live@PTAR UiTMCM Siri 3/2022 – Taklimat Perkhidmatan Perpustakaan Digital PTAR ini telah disampaikan oleh Pustakawan Kanan PTAR UiTM Shah Alam, Haji Ahmad Faizar bin Jaafar sebagai penceramah dan Pustakawan Kanan PTAR UiTM Cawangan Melaka, Encik Ahmad Nazri bin Jaafar sebagai moderator. Program telah dijalankan secara atas talian selama 2 jam dengan menggunakan platform Cisco Webex yang telah dihadiri oleh 445 orang peserta.
Antara objektif pengisian program ini adalah:
- Memberi kefahaman mengenai produk dan perkhidmatan terkini PTAR.
- Memberi pendedahan dan penerokaan tentang kemudahan aplikasi dan sistem PTAR.
- Memberi tunjuk ajar secara terus tentang permasalahan yang berlaku.
- Mewujudkan keterlibatan komuniti dan meningkatkan ketampakan (visibility) antara warga Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM dengan pihak luar.
- Menjadi pusat kecemerlangan bagi program-program pembudayaan ilmu dan meningkatkan pendidikan sepanjang hayat.
Disediakan oleh: Ilya Nur Fateen binti Othman, Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin