24 Januari 2022 – Pengetahuan dan kebolehan menulis adalah satu kemahiran yang sangat penting bagi kakitangan yang diberikan tugas sedemikian dalam sesebuah organisasi terutama apabila berurusan dengan pihak atasan. Kemahiran ini mampu menghasilkan penulisan yang berkualiti dan mencapai objektif yang ditetapkan oleh sesuatu penulisan serta melambangkan tahap profesionalisme mereka. Terdapat banyak bentuk penulisan yang digunakan dalam organisasi seperti penulisan surat rasmi, memo, e-mel, laporan, kertas kerja dan minit mesyuarat. Kesemua jenis penulisan ini mempunyai format dan teknik tertentu dan tatabahasa yang betul untuk dihasilkan.
Unit Pentadbiran Perpustakaan Tun Dr. Ismail UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat telah menganjurkan sesi perkongsian ilmu Penyediaan Surat Rasmi, Kertas Kerja Dan Laporan Perpustakaan yang dihadiri oleh Staf Perpustakaan UiTM menerusi platform Cisco Webex bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari.
Antara tujuan utama sesi perkongsian ini diadakan adalah:-
- Memberikan pendedahan kepada format penulisan mengikut ketetapan PTAR
- Memberikan tunjuk ajar serta teknik penulisan rasmi serta amalan terbaik kepada staf
Puan Nor Azwani binti Mohamad, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam, telah dijemput sebagai penceramah dan sesi ini dikendalikan oleh En. Ahmad Akmal bin Mohd Idris, Pustakawan Kanan UiTM Kampus Segamat.
Perkongsian ini telah berlangsung dengan jayanya dimana seramai 177 staf Perpustakaan UiTM telah mengikuti siri perkongsian ini dan rata-rata mereka menyatakan bahawa perkongsian ini adalah sangat menarik dan memberikan manfaat kepada mereka.
Penulis : Roslan bin Mohd Nor | Pembantu Pustakawan Kanan