Pada 25 Januari 2022 jam 10.00 pagi bertempat di Makmal Ibnu Saffar, Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi telah berjaya menganjurkan satu bengkel iaitu Bengkel Asas Penggunaan Aplikasi Canva yang telah diadakan secara bersemuka dengan kehadiran 20 orang peserta daripada pelbagai unit dalaman antaranya Unit Pentadbiran, Unit Polis Bantuan, Unit Hal Ehwal Pelajar, Unit Hal Ehwal Akademik dan lain-lain, setelah mengambil kira ruang kapasiti makmal sedia ada bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan dipatuhi.
Objektif bengkel ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi tunjuk ajar kepada para peserta mengenai penggunaan aplikasi Canva yang kini menjadi trend kepada kepada mana-mana jabatan dalam menghasilkan poster, banting, risalah, slaid pembentangan dan sebagainya dengan cara yang mudah, menarik dan kreatif berbanding dengan aplikasi sedia ada seperti Adobe Photoshop, Powerpoint dan seumpamanya. Dengan penggunaan aplikasi ini juga, peserta tidak perlu membuat instalasi (keperluan hanya pada telefon pintar sahaja) dan boleh digunakan secara atas talian, malah setiap penerbitan yang dihasilkan boleh dikongsikan ke media sosial yang lain seperti Facebook, Twitter, Instagram dan banyak lagi.
Antara pengisian bengkel ini adalah setiap peserta diberi tunjuk ajar bagaimana mewujudkan akaun secara percuma; memilih template yang ada; memasukkan dan menyunting imej, teks, bingkai, ikon, video, dan audio ke dalam template yang dipilih; memuat naik imej dan audio dan seterusnya memuat turun hasil penerbitan yang telah disiapkan dalam format yang tersedia.
Dengan penganjuran bengkel ini yang mengambil masa 2 jam, diharap sedikit sebanyak memberi manfaat kepada bahagian / unit dalaman menghasilkan bahan penerbitan sendiri dengan lebih kreatif dan interaktif.
Penulis: Mohd Shahnizam Mat Zain, Pustakawan Kanan