Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam telah menganjurkan program Live@PTAR Misi Sukarelawan: Duta Sosial dan Kebajikan pada 19 Januari 2022 bermula jam 11 pagi. Program ini dikendalikan oleh Encik Khairul Idzwan Mohd Saad, Pembantu Pustakawan Tertinggi PTAR UiTM Shah Alam selaku moderator bersama panel jemputan Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah, Pegawai Kokurikulum Kanan, Pusat Kokurikulum di UiTM Shah Alam.
Live@PTAR diteruskan dengan perkongsian tentang hal ehwal kesukarelawanan dari segi persediaan awal pihak sukarelawan UiTM dalam menghadapi musibah banjir. Seperti yang diketahui, pada Disember yang lalu, Malaysia telah dikejutkan dengan musibah banjir kilat di beberapa kawasan di Selangor dan Pahang. Sukarelawan UiTM telah bersama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir. Encik Ku Hadzrill berkata, antara persediaan awal atau SOP yang perlu dilakukan adalah semua sukarelawan perlu menjalani ujian saliva dan memastikan keputusan adalah negatif sebelum memulakan misi sukarelawan.
Sukarelawan bukan sahaja dari UiTM Shah Alam, malah ada juga sukarelawan dari setiap cawangan UiTM yang terdiri daripada staf dan pelajar UiTM. Antara sukarelawan UiTM yang hadir membantu mangsa-mangsa banjir di Selangor dan Pahang adalah dari kampus cawangan iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan cawangan lain.
Pada pandangan Encik Ku Hadzrill, perkara utama untuk menjadi seorang ahli sukarelawan yang baik, adalah individu tersebut perlu menjalani latihan untuk memahami tatacara yang betul dari segi gerak kerja sebelum dan selepas misi bantuan, kaedah komunikasi dan memiliki sikap empati kepada mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana alam.
Memetik daripada Hadis Riwayat Ahmad, Thabrani, Daruqutni, Rasulullah S.A.W bersabda “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia”.