Tanggal 26 Januari 2022 telah menyaksikan PTAR menerima kunjungan daripada Kedutaan Republik Cuba ke Malaysia seramai dua orang. Kunjungan ini diadakan adalah bersempena Pameran dan Pertunjukan Fesyen Batik Malaysia yang diadakan di Gesturz (Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah) disamping meneroka jalinan kerjasama antara universiti di Malaysia dan Pusat Penyelidikan Cuba.
Sepanjang sesi lawatan yang berlangsung selama satu jam ini, duta Cuba ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Florentino Batista-Gonzalez dan atase Cuba, Saimi Reyes Cazmona, dengan diiringi oleh Puan Asmahan binti Abd Razak, Koordinator Komunikasi dan Pengantarabangsaan, OIA (Office of International Affairs) telah dibawa melawat ke Galeri Tun Abdul Razak (GTAR) dan ruang piramid PTAR.
Kurator Kanan GTAR, Puan Roszainatul Haizan binti Rusili dengan dibantu oleh Encik Harun Al-Rashid bin Bahrin, Penolong Kurator Kanan, telah memberi penerangan berkaitan koleksi GTAR dan nilai sejarah terhadap UiTM. Manakala Encik Mohd Alfarabie bin Mohd Nasir, Pustakawan Kanan PTAR, telah memberi penerangan berkaitan pameran legasi Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua bertempat di ruang Piramid PTAR.
Sesi kunjungan yang singkat ini diakhiri dengan sesi bergambar dan pemberian cenderamata yang disampaikan oleh Encik Norhazlan bin Nordin, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat PTAR.