Majlis Persaraan Encik Malek bin Samirin

Pada 13 Januari 2022, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Shah Alam telah mengadakan majlis persaraan Encik Malek bin Samirin, Pembantu Pustakawan Kanan (S22) yang telah berbakti selama 34 tahun.

Majlis ini turut dihadiri Encik Jamalludin bin Sulaiman, Ketua Timbalan Pustakawan yang menjalankan tugas sebagai Ketua Pustakawan, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian serta semua staf PTAR Shah Alam seramai 50 orang.

Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Zaidie bin Bardan dan diteruskan dengan kata alu-aluan daripada Encik Jamalludin bin Sulaiman. Dalam ucapan tersebut, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada Encik Malek atas sumbangan dan khidmat bakti beliau terhadap PTAR. Beliau mewakili seluruh warga kerja PTAR mendoakan agar rutin hidup sebagai pesara berjalan dengan lebih baik disamping dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga tercinta.  

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pentadbiran Organisasi ini bertambah berseri dengan ucapan daripada Encik Malek sendiri. Selain merakamkan penghargaan yang tidak terhingga terhadap PTAR, beliau turut berkongsi pengalaman manis dan cabaran yang ditempuhi sepanjang berkhidmat di PTAR. Dengan persaraan Encik Malek ini, PTAR telah kehilangan seorang staf yang mesra, berdedikasi dan berpengalaman, yang telah menyumbang kepada kemajuan PTAR pada hari ini.    

Majlis turut diwarnai dengan sebuah tayangan video ucapan penghargaan daripada Encik Malek yang telah disediakan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, PTAR. Sebelum majlis berakhir pada jam 4.30 petang, PTAR telah menghadiahkan cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan buat Encik Malek. Sesi pemberian cenderahati ini telah disampaikan oleh Encik Jamalludin bin Sulaiman dan Puan Hani Liza binti Norfin.

Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply