Sesi Taklimat Bengkel eLibs telah diadakan pada 21 Januari 2025 bertempat di Pusat IT, PTDI 1, dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Program ini dianjurkan bagi memperkenalkan platform baharu untuk bahan bacaan santai kepada pengguna perpustakaan. Bengkel ini turut memberi fokus kepada promosi dan penerangan mendalam berkaitan penggunaan platform eLibs. Penceramah bagi sesi ini ialah Puan Norme Hj Saleh, Pembantu Pustakawan Kanan.
Objektif utama penganjuran sesi latihan ini adalah untuk memperkenalkan platform baharu bagi bahan bacaan santai kepada pengguna perpustakaan, mempromosikan platform eLib kepada pengguna, serta memberi kefahaman yang lebih mendalam berkaitan penggunaan eLib kepada staf perpustakaan. Dalam taklimat ini, beberapa topik utama telah dibentangkan oleh Puan Norme, termasuk pengenalan kepada platform eLibs, ciri-ciri utama dan kelebihan eLibs berbanding platform lain, langkah-langkah pendaftaran dan cara penggunaan platform, serta demonstrasi penggunaan aplikasi eLibs untuk pelbagai jenis bahan bacaan seperti novel, majalah, dan komik.
Program ini telah dihadiri oleh staf perpustakaan PTDI yang berminat untuk memahami platform eLibs dan mengaplikasikan pengetahuan ini dalam perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna. Peserta memberikan maklum balas positif terhadap sesi taklimat ini. Kebanyakan peserta berpendapat bahawa platform eLibs mempunyai potensi besar untuk menarik lebih ramai pengguna perpustakaan, khususnya golongan pelajar dan kakitangan UiTM. Mereka turut menyatakan bahawa sesi ini telah membantu mereka memahami cara memanfaatkan eLibs dengan lebih berkesan.
Secara keseluruhan, Taklimat Bengkel eLibs mencapai objektif yang telah ditetapkan. Diharapkan sesi seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memastikan pengguna perpustakaan sentiasa didedahkan kepada teknologi dan platform baharu yang relevan.