7 Ogos 2024 | 2 Safar 1446H
SHAH ALAM - Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) melakar sejarah baharu dengan termeterainya Memorandum Kolaborasi (MOC) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Nusantara Technologies Sdn. Bhd. Perjanjian kerjasama itu diadakan lewat petang tadi dalam sebuah majlis rasmi di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, dan Dato’ Dr. Mohamed Razali bin Dato’ Mohamed Yusoff, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Nusantara Technologies Sdn. Bhd.
Menurut Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM, kolaborasi ini merupakan hasil perbincangan sejak tahun lalu dan bertujuan memastikan perpustakaan terus menjadi pusat kecemerlangan ilmu, bukan sahaja untuk warga universiti tetapi juga kepada komuniti.
“Kerjasama ini menunjukkan kepentingan perpustakaan dalam mendukung pembudayaan ilmu. Sumbangan Nusantara Technologies Sdn. Bhd. akan menaiktaraf kemudahan di PTAR, termasuk koleksi khas Dato’ Mohamed Yusof bin Haji Ahmad dan teknologi terkini yang akan dimanfaatkan untuk penyelidikan dan pembelajaran,” ujar beliau.
Majlis ini juga mencerminkan komitmen UiTM dan pihak industri untuk memperkukuh ekosistem ilmu dan teknologi bagi mendepani cabaran pendidikan abad ke-21.
Kerjasama strategik seperti ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang bagi inovasi, penyelidikan, dan pembangunan yang akan menguntungkan masyarakat dalam jangka masa panjang.