Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat satu pencapaian penting apabila menerima Sijil Pemberitahuan Hak Cipta bagi karya tagline terbaharu perpustakaan, “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa.” Sijil tersebut telah disampaikan oleh Encik Zulhilmi Aizat bin Ahmad Jaffri dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Menara MyIPO, Petaling Jaya pada 6 Februari 2025 bersamaan 7 Syaaban 1446H.

Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan PTAR sebagai sebuah institusi yang komited dalam mempromosikan dan memartabatkan ilmu pengetahuan serta pendidikan. Pihak perpustakaan menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima dan menegaskan bahawa tagline berkenaan menjadi cerminan kepada visi serta aspirasi PTAR dalam membudayakan ilmu sebagai teras pembentukan insan berilmu dan berjati diri.

Seiring dengan perkembangan institusi, penggunaan tagline PTAR telah melalui beberapa fasa evolusi sejak penubuhannya. Tagline “PTAR@Your Service” yang diperkenalkan pada tahun 2005 telah digantikan dengan “Library For All” pada tahun 2012. Bermula tahun 2024, pengenalan tagline “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa” menandakan satu langkah strategik bagi menyerlahkan peranan perpustakaan sebagai gedung ilmu yang bukan sahaja menyampaikan pengetahuan, malah menyantuni dan memperkasa budaya ilmu dalam kalangan warga universiti serta komuniti.

Bermula dengan Kunjungan Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc ke Perpustakaan Tun Abdul Razak pada 3 Januari 2024 (Rabu) dengan cadangan penjenamaan semula 'tagline' Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa.

Melalui pembudayaan ilmu yang berterusan, PTAR berhasrat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut memiliki jati diri yang kukuh dan kesedaran sosial dalam pembangunan masyarakat. Perpustakaan Tun Abdul Razak akan terus komited sebagai pusat rujukan utama merentas lapisan masyarakat serta menerajui usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan demi kemajuan universiti dan negara.

Sumber:
1. Berita Perpustakaan UiTM

 

powered by social2s