![]()
Salah satu sumbangsih paling istimewa pelajar dan kakitangan Institut Teknologi MARA (ITM) ialah penghasilan dan reka bentuk pakaian seragam pramugari serta kakitangan wanita Penerbangan Malaysia (MAS). Kepercayaan ini dizahirkan apabila MAS memeterai kontrak dengan sekumpulan kakitangan dan pelajar dari Kajian Seni Lukis dan Seni Reka pada 24 Oktober 1983, sebelum pelancarannya dirasmikan pada 1 Mac 1986.
Projek berprestij ini dikendalikan oleh Jabatan Tekstil dan Fesyen dengan penglibatan seramai 36 orang pensyarah, kakitangan dan pelajar. Ia diterajui oleh Cik Kalsom Muda selaku Pengurus Projek, dibantu oleh Zaliha Shaari, Fatimah Ismail dan Zainah Wan Chik. Keseluruhan proses bermula dengan penyelidikan terperinci bagi memahami keperluan sebenar MAS, termasuk sesi temu bual bersama kakitangan MAS serta pengalaman menaiki pesawat bagi meneliti tugas dan pergerakan semasa penerbangan.
Hasil penyelidikan ini menekankan keperluan pakaian seragam yang selesa, praktikal dan selamat. Reka bentuk yang dihasilkan perlu memberi kebebasan bergerak kepada pramugari dan kakitangan, di samping memenuhi aspek keselamatan terutama ketika situasi kecemasan. Berpandukan kriteria tersebut, pasukan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka mula mereka bentuk pakaian seragam serta aksesori berkaitan, termasuk pemilihan jenis kain, padanan warna bagi membezakan kategori dan pangkat kakitangan, penciptaan motif kain serta penentuan gaya fesyen yang sesuai.
Malah, MAS turut memberikan kepercayaan kepada pasukan ini untuk mereka bentuk pakaian khas bagi kakitangan yang bertugas di negara beriklim sejuk, merangkumi winter coat, seluar panjang, cardigan atau sweater serta blaus.
Keistimewaan pakaian seragam MAS terserlah melalui potongannya yang lebih selesa dan praktikal, sesuai dengan keperluan tugas kakitangan penerbangan. Pemilihan sarung kebaya sebagai pakaian rasmi pramugari pula amat bertepatan kerana bukan sahaja mengekalkan ciri ketimuran, malah mencerminkan identiti budaya Malaysia yang sinonim dengan kelembutan dan kesopanan.
Inspirasi corak kain pula digarap daripada tiga elemen tradisi utama, iaitu seni batik, corak daun kelarai—warisan tenunan lama dari Sarawak—serta motif bunga cempaka yang digabungkan di atas latar tenunan daun kelarai. Padanan warna-warna terang dan segar dipilih bagi melambangkan imej korporat MAS yang muda, dinamik dan progresif.
Sesungguhnya, sumbangsih sekumpulan kakitangan dan pelajar Kajian Seni Lukis dan Seni Reka ITM ini amat membanggakan. Hasil ciptaan yang unik dan tersendiri bukan sahaja memenuhi keperluan korporat MAS, malah berjaya memperkenalkan budaya serta tradisi Malaysia ke persada antarabangsa melalui Penerbangan Malaysia.
Sumber :
- ITM Warisan Bangsa 1989. Koleksi Bahagian Arkib Universiti
- Majalah Majlis Reka Bentuk Malaysia Okt/Nov/Dis 2009