Seorang pensyarah dari Kajian Seni dan Rekabentuk, Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam, Encik Christopher B. Carnes, telah menawarkan kesanggupannya untuk membina semula bahagian Tugu Peringatan Negara yang rosak. Tawaran tersebut dibuat sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemulihan mercu tanda bersejarah itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Kamaruddin bin Mat Isa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tabung Pemulihan Tugu Negara, memaklumkan perkara itu selepas menerima sumbangan sebanyak $25,000 daripada Yaysan Sabah dan Perikatan Sabah. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Senator Dato’ Syed Kechik di pejabat beliau. Turut menyumbang selepas acara ringkas itu ialah Exxon Production Malaysia ($5,000), Esso Sendirian Berhad ($5,000), Mosento Electronic ($2,500) dan Persatuan Eurasian Selangor ($1,000). Dengan sumbangan terbaharu ini, jumlah derma yang telah diterima oleh Bank Negara dan jawatankuasa berkenaan mencecah $55,134.

Sekitar fasa pembaikan Tugu Negara pada tahun 1976 - 1977

Dato’ Sri Haji Kamaruddin merakamkan ucapan terima kasih kepada para dermawan dan menyeru orang ramai daripada semua golongan agar turut menghulurkan sumbangan kepada tabung tersebut, walaupun sekadar lima sen. Beliau juga menyatakan rasa gembira atas tawaran Encik Christopher untuk membantu kerajaan membina semula bahagian yang rosak bersama para pelajar ITM. Menurut beliau lagi, artis-artis dan para usahawan juga digalakkan menganjurkan pertunjukan amal bagi mengutip derma untuk tabung pemulihan Tugu Negara.

Sumber : Koleksi artikel Unit Arkib UiTM Cawangan Sabah. Tugu: Pensyarah ITM tawar bina semula. Berita Harian. 20 September 1975.

powered by social2s