Logo ini direka oleh Profesor Dato’ Dr Ahmad Zainuddin bersama Mohd Faizal Ahmad dari Majlis Rekabentuk Malaysia, berteraskan pendekatan konseptual yang menggabungkan nilai falsafah, pendidikan dan keilmuan. Mulai diperkenalkan dan digunakan secara rasmi pada tahun 2013.

Konsep utama logo ini berasaskan huruf ‘Alif’, yang melambangkan jalan lurus dalam kehidupan manusia, keteguhan prinsip serta kejelasan arah yang selari dengan tuntutan ilmu dan keimanan. ‘Alif’ turut membawa makna ILMU, sejajar dengan firman Allah SWT yang mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan berilmu. Ilmu ditafsirkan sebagai pengetahuan menyeluruh merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi, berfungsi memindahkan roh dan jiwa daripada kegelapan kepada kecerahan, serta membentuk keyakinan terhadap kebenaran. Logo ini menggabungkan dua huruf ‘P’ dan dua ‘Alif’ yang melambangkan dua peringkat utama pendidikan negara, iaitu Sistem Sekolah dan Sistem Pengajian Tinggi. Susunan huruf ‘P’ yang bertingkat menuju ke arah ‘Alif’ menggambarkan tahap-tahap kecemerlangan pendidikan Malaysia daripada asas hingga ke puncak pencapaian ilmu. Bentuk bulat melambangkan Malaysia sebagai pusat pendidikan bertaraf global yang inklusif dan terbuka. Dari segi warna, biru melambangkan profesionalisme dan keutuhan sistem pendidikan negara, kuning keemasan mencerminkan kecemerlangan dan keunggulan, manakala putih menzahirkan sistem pendidikan yang bermutu tinggi serta berupaya membentuk insan berkualiti, berilmu dan berakhlak mulia.

Profesor Dato’ Dr Ahmad Zainuddin, merupakan tokoh alumni ITM - UiTM yang disegani serta dianugerah gelaran Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad @ Abdul Rahim Haji Zainuddin, Pakar Bidang Seni Reka Grafik / Graphic Design Expert di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 98 pada 18 November 2023.

powered by social2s