Muhammad Affan Mazlan, pencipta lagu tema Hari Kebangsaan 2024 berjudul Madani Jiwa Merdeka, mencatatkan kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor pada pembukaan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-99 pada 2 September 2024. Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, selaku Pro Canselor UiTM. Pada usia 24 tahun, Muhammad Affan dinobatkan sebagai penerima anugerah hasil kecemerlangan akademik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89.

Muhammad Affan Mazlan ketika menyampaikan Ucapan Penerima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor di Istiadat Konvokesyen UiTM ke 99

Mengulas kejayaan penerbitan Madani Jiwa Merdeka, Muhammad Affan menyifatkan peluang bekerjasama dengan komposer tersohor Datuk Mokhzani Ismail—yang juga idolanya—sebagai pengalaman berharga. Menurutnya, bimbingan Datuk Mokhzani termasuk membantu mendapatkan pemuzik orkestra berkaliber telah menyempurnakan kualiti lagu tersebut. Muhammad Affan mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan karya berkenaan dan meluahkan kepuasan apabila lagu itu diputarkan di stesen radio tempatan. Beliau turut menyatakan azam untuk terus bekerja keras merealisasikan impian menjadi komposer unggul, berteraskan etika kerja tinggi seperti idolanya, demi menghasilkan karya terbaik untuk negara.

Biografi Muhammad Affan bin Mazlan (Penerima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor / Royal Chancellor’s Award, Istiadat Konvokesyen UiTM ke 99)

Muhammad Affan bin Mazlan, atau lebih dikenali sebagai Affan Mazlan, dilahirkan pada 3 Jun 2000 di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak bongsu daripada lima beradik hasil perkongsian hidup Encik Mazlan bin Mohd Sani dan Puan Fudziah binti Ahmad. Pendidikan awal Affan bermula di Sekolah Rendah Islam Seremban (ABIM) sehingga tahun 2011 sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan Panchor pada tahun 2012. Berbekalkan pencapaian cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan keputusan 5A, beliau melangkah ke alam persekolahan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said (SMKA SHAMS).

Sepanjang tempoh persekolahan, Affan Mazlan bukan sahaja menonjol dalam bidang akademik dan pendidikan agama, malah aktif dalam kegiatan kokurikulum. Penglibatan beliau dalam pelbagai pertandingan seperti sayembara puisi, pidato, catur dan nasyid telah menyerlahkan bakat serta keupayaan kepimpinan yang dimiliki. Kesungguhan ini membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai Tokoh Kokurikulum pada tahun 2017, sekali gus mencerminkan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.

Didorong oleh minat mendalam terhadap bidang seni, Affan melanjutkan pengajian dalam Diploma Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Salah satu detik paling bermakna dalam perjalanan akademiknya ialah apabila beliau diberi penghormatan membuat persembahan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-90, di hadapan Canselor UiTM merangkap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah. Walaupun tempoh pengajian kurang daripada tiga tahun dan sebahagiannya berlangsung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Affan terus mencatat kecemerlangan apabila dianugerahkan Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Graduan Terbaik Program.

Berpegang kepada cita-cita untuk menjadi seorang Produser dan Komposer Muzik, Affan Mazlan meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Komposisi (Kepujian) di UiTM. Walaupun masih bergelar mahasiswa, beliau aktif menembusi industri muzik tanah air. Bakat komposer muda ini mula mendapat perhatian apabila beliau berpeluang bekerjasama dengan nama-nama besar industri seperti Dato’ Sheila Majid dan Aina Abdul. Puncak pencapaian awalnya terserlah apabila karya gubahan beliau berjudul “Nafas Cinta” berjaya dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL-36).

Sepanjang tempoh pengajian di peringkat sarjana muda, Affan Mazlan sentiasa menitikberatkan kualiti secara holistik merangkumi akademik, kokurikulum dan penghasilan karya industri. Dengan pengurusan masa yang cemerlang serta disiplin tinggi, beliau berjaya mencapai pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Graduan Terbaik Kolej dan Anugerah Graduan Terbaik Pengajian di peringkat Sarjana Muda. Kepimpinan beliau turut terserlah apabila diberi amanah sebagai Presiden Society of Music Composition Students (SMCS) dan berjaya mengendalikan pelbagai program di peringkat universiti.

Kini, segala pengorbanan, usaha dan ketekunan akhirnya membuahkan hasil apabila Affan Mazlan berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa doa serta sokongan padu daripada keluarga, rakan-rakan dan para pensyarah. Dengan penuh rasa syukur, beliau merakamkan penghargaan kepada semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan perjalanan hidupnya. Berpegang kepada falsafah hidup, “menjadi benih yang baik, dibuang ke laut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi bintang, dicampak ke hutan menjadi gunung,” Affan Mazlan percaya bahawa dalam apa jua bidang dan pilihan kehidupan, menjadi yang terbaik serta memberi manfaat kepada masyarakat adalah kunci utama kejayaan.

Sumber : Buku Istiadat Konvokesyen UiTM ke 99

powered by social2s