Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam merupakan kampus kedua UiTM Pulau Pinang dengan keluasan keseluruhan 248 ekar, merangkumi pembangunan permulaan Fasa 1 seluas 32.6 ekar. Pembangunan kampus ini bertujuan menampung pertambahan bilangan pelajar di Kampus Permatang Pauh yang ketika itu telah mencapai seramai 10,085 orang pelajar.

Kampus Bertam mula beroperasi pada 16 Mei 2011 dengan enrolmen permulaan seramai 521 orang pelajar. Kumpulan pelajar terawal ini terdiri daripada Fakulti Farmasi dan Fakulti Sains Kesihatan yang menawarkan program Diploma Farmasi, Diploma Teknologi Perubatan dan Diploma Sains Kesihatan Persekitaran. Pada Jun 2012, kampus ini menerima pertambahan pelajar daripada Fakulti Sains Komputer dan Matematik, menjadikan jumlah keseluruhan pelajar meningkat kepada 911 orang pada tahun tersebut.

Bagi memastikan kelancaran operasi kampus serta melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum, seramai 66 orang staf telah ditempatkan di Kampus Bertam, termasuk 33 orang pensyarah.

Pada 12 Februari 2015, UiTM Pulau Pinang Kampus Bertam telah secara rasmi menerima Kolej Kediaman Az-Zahrawi yang berkapasiti menempatkan sehingga 1,000 orang pelajar. Kini, jumlah keseluruhan pelajar di Kampus Bertam adalah seramai kira-kira 1,200 orang, terdiri daripada pelajar Fakulti Farmasi dan Fakulti Sains Kesihatan.

Ikuti sejarah awal penubuhan kampus ini di pautan Institut Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang dan Barisan Peneraju ITM-UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Sumber : Unit Arkib Cawangan Pulau Pinang

powered by social2s