Kewujudan Kampus Bandaraya UiTM di Melaka Tengah merupakan sebahagian daripada agenda nasional hasil usaha sama strategik antara Ketua Menteri Melaka dan Naib Canselor UiTM, berlandaskan saranan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Inisiatif ini digerakkan bagi merealisasikan sasaran kemasukan seramai 200,000 pelajar bumiputera ke UiTM menjelang tahun 2020.

Kampus Bandaraya Melaka (KBM) telah mencatat sejarah tersendiri sebagai City Campus UiTM terbesar di Malaysia dengan jumlah enrolmen pelajar mencecah 5,000 orang. Kewujudannya bukan sahaja memperluas akses pendidikan tinggi di kawasan bandar, malah turut merancakkan pembangunan sosioekonomi persekitaran setempat.

Pemantapan konsep City Campus ini terus diperkukuh melalui peluasan lokasi pengajaran dan pembelajaran ke bangunan Graha Maju yang terletak bersebelahan bangunan utama KBM. Pada peringkat awal, dua tingkat bangunan tersebut disewa bagi menampung keperluan akademik, dengan perancangan penambahan ruang pada masa hadapan. Kerajaan Negeri Melaka turut memainkan peranan signifikan dengan menyediakan dua blok tambahan kediaman pelajar yang dikenali sebagai Asrama Yayasan Melaka, yang mampu menempatkan seramai 2,000 orang pelajar.

UiTM Kampus Bandaraya Melaka telah dirasmikan secara rasmi pada 26 Mac 2007 oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd Ali, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam landskap pembangunan pendidikan tinggi UiTM di Melaka. Ikuti sejarah lanjut penubuhan kampus ini di pautan ITM Cawangan Melaka dan Barisan Peneraju.

Sumber :

  • Unit Arkib Cawangan Melaka
  • Buku Jalan Hang Tuah Ke Dewan Taming Sari.Koleksi Unit Arkib Cawangan Melaka

 

powered by social2s