
Perpindahan Institut Teknologi MARA (ITM) dari Kampus Jalan Hang Tuah ke Kampus Lendu merupakan satu peralihan fasa yang paling signifikan dalam sejarah penubuhan ITM Cawangan Melaka, malah boleh dianggap sebagai suatu quantum leap. Perpindahan ini membawa mesej yang amat jelas bahawa ITM telah diiktiraf peranannya di bumi bersejarah Melaka sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang berwibawa dan berdaya saing.
Proses pemindahan tersebut dijayakan sepenuhnya melalui semangat kebersamaan seluruh warga kampus. Seluruh kakitangan dan pelajar bergotong-royong, menggembleng tenaga dan masa tanpa mengenal erti penat lelah. Tidak terhitung keringat yang tumpah, namun semuanya digerakkan dengan penuh keikhlasan demi memastikan kelangsungan operasi kampus di lokasi baharu. Mengimbau detik bersejarah itu, Dr. Baharuddin berkongsi kenangan apabila beliau sendiri memandu lori muatan kecil untuk mengangkut peralatan komputer ke Kampus Lendu demi memastikan keselamatan aset berharga tersebut, yang ketika itu nilainya diumpamakan seperti emas.

Kehadiran warga kampus di Lendu membuka lembaran baharu kepada perkembangan ITM Cawangan Melaka. Kampus ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, malah menjadi pemacu keluhuran pengetahuan yang menggalas tanggungjawab sosial untuk mengangkat martabat masyarakat setempat ke arah satu era ketamadunan yang lebih maju. Bermula dengan keluasan asal 349.16 ekar, Kampus Lendu kini berkembang kepada 358.2 ekar, melambangkan pertumbuhan fizikal dan aspirasi institusi yang berterusan.
Sesungguhnya, ITM Cawangan Melaka boleh berbangga kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan sejarah pembangunan negara bangsa. Pembangunan sesebuah negara tidak akan berlaku tanpa sumbangan ilmu dan pemikiran anak watan. Dengan kira-kira 500,000 lepasan ITM dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berkhidmat dalam pelbagai sektor awam dan swasta, sumbangan institusi pengajian tinggi khusus untuk anak-anak Melayu dan bumiputera ini amat besar dan tidak ternilai. Seperti yang ditegaskan oleh Encik Zulkifli, kejayaan pembangunan negara hari ini turut disokong oleh peranan ITM (UiTM) dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi merentasi pelbagai bidang pekerjaan.

Mengimbau pembinaan asas yang kukuh kepada penubuhan kampus, Januari 1994 menjadi tarikh manis buat ITM Cawangan Melaka apabila institusi ini berjaya berdiri megah di atas tanah sendiri di Jalan Lendu, Alor Gajah. Penubuhan kampus baharu ini sejajar dengan hasrat Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua Malaysia, yang ingin melihat anak-anak Melayu dan bumiputera berjaya meningkatkan taraf kehidupan melalui pendidikan. Aspirasi inilah yang meniupkan semangat kepada ITM Cawangan Melaka untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pemangkin pembangunan insan.
Pada peringkat awal pembukaan, ITM Cawangan Melaka terbahagi kepada Bangunan Pentadbiran dan Bangunan Akademik, dikendalikan oleh 113 orang kakitangan akademik serta 141 orang kakitangan pentadbiran. Walaupun dengan jumlah tenaga kerja yang terhad, kampus ini telah dilengkapi dengan pelbagai fasiliti asas termasuk dewan kuliah, masjid, tujuh buah kompleks siswa, dua dewan makan, pusat pelajar, kompleks sukan, perpustakaan, klinik pelajar, kedai koperasi, Bank Simpanan Nasional dan pejabat pos mini.
Sejarah terus terukir apabila ITM Cawangan Melaka dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 2 Mei 1994. Perasmian ini menandakan bermulanya era baharu dalam landskap pendidikan negara dengan membuka peluang yang lebih luas kepada bangsa Melayu dan bumiputera untuk menceburi bidang pengajian yang diminati. Sejak itu, ITM Cawangan Melaka terus mengorak langkah bagi merealisasikan aspirasi kerajaan melahirkan lebih ramai modal insan yang berkebolehan dan berdaya saing.
Fasa pengukuhan kampus ini dipimpin oleh barisan kepimpinan berwibawa bermula dengan Prof. Dr. Mohamad Kamal, diikuti Prof. Dr. Tahir dan seterusnya Prof. Dr. Kamal Harun. Hubungan erat antara ITM Cawangan Melaka dengan Kerajaan Negeri Melaka turut diperkukuhkan melalui pelbagai program khidmat masyarakat dan perkongsian ilmu, termasuk penganjuran seminar, latihan, bengkel serta aktiviti perundingan bersama agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
UiTM Cawangan Melaka juga mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dengan terlibat dalam Program Latihan Kepimpinan Negara (PLKN) pada tahun 2004 serta menjadikan Sekolah Kebangsaan Lendu sebagai sekolah angkat. Melalui inisiatif ini, kampus menyediakan khidmat kepakaran, kemudahan pembelajaran dan sokongan akademik bagi meningkatkan mutu pendidikan dan pencapaian pelajar sekolah berkenaan.
Seiring dengan kemajuan kampus, pembangunan infrastruktur turut dipertingkatkan, termasuk pembinaan Dewan Taming Sari yang siap selepas hampir 28 tahun penubuhan kampus. Dewan berkapasiti 4,000 orang ini dinamakan sempena keris kebanggaan masyarakat Melayu dan menjadi mercu tanda penting UiTM Kampus Alor Gajah. Dengan kos pembinaan RM2.7 juta dan seni bina berpaksikan kiblat, dewan ini bersifat serbaguna, sesuai untuk majlis rasmi, konvokesyen, aktiviti sukan dan juga program kerohanian. Dewan Taming Sari telah dirasmikan oleh Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid pada 28 Oktober 2011.
Dalam mendukung aspirasi UiTM melalui pelaksanaan VC Special Project, UiTM Cawangan Melaka terus memperkukuh kedudukannya di peringkat nasional dan antarabangsa. Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat pengiktirafan Malaysia Book of Records pada tahun 2011 melalui penghasilan galeri gambar terpanjang di negara ini, melibatkan 38,850 keping gambar sepanjang 304.8 meter. Pencapaian ini bukan sahaja menjadi kebanggaan warga kampus, malah mengukuhkan lagi nama UiTM Cawangan Melaka di persada pendidikan negara. Ikuti sejarah lanjut penubuhan kampus ini di pautan ITM Cawangan Melaka dan Barisan Peneraju.
Sumber :
- Unit Arkib Cawangan Melaka
- Buku Jalan Hang Tuah Ke Dewan Taming Sari.Koleksi Unit Arkib Cawangan Melaka