
Pembinaan kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Balik Pulau merupakan sebahagian daripada penambahan pembangunan dan prasarana terbaru UiTM bagi negeri Pulau Pinang. Pembinaan ini merupakan langkah dan inisiatif untuk memberikan ruang pembelajaran yang lebih selesa kepada lebih ramai mahasiswa bumiputera di universiti ini. Ia sejajar dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk meningkatkan jumlah pengambilan pelajar ke institut pengajian tinggi awam. Idea asal pembinaannya dicetuskan sendiri oleh Naib Canselor, YBhg. Dato’ Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
Perasmian kampus ini disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 30 Januari 2011. Kampus Balik Pulau telah mula beroperasi pada sesi Julai 2010 dan dikhaskan untuk menempatkan para pelajar Pra Diploma. Penubuhan kampus ini selari dengan program yang diperkenalkan khas untuk para pelajar miskin dan luar bandar yang berpotensi tinggi dalam bidang akademik. Program khas yang dimaksudkan ialah program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).
Pada permulaannya seramai 200 pelajar Pra Diploma telah ditempatkan di Kampus Balik Pulau. Ia menyediakan lima buah bilik kuliah yang dilengkapi dengan sistem pembelajaran dan pengajaran yang kondusif, dua buah makmal komputer untuk kemudahan pelajar menyiapkan pelbagai tugasan kursus serta kemudahan bilik untuk pensyarah dan pentadbir bagi kemudahan pelajar.
Ikuti sejarah awal penubuhan kampus ini di pautan Institut Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang dan Barisan Peneraju ITM-UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Sumber : Unit Arkib Cawangan Pulau Pinang