
Arahan penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM) Cawangan Melaka bukan sekadar memenuhi wawasan ITM sebagai institusi pengajian tinggi khusus untuk pelajar Melayu dan bumiputera, malah selari dengan aspirasi pembangunan negara secara menyeluruh. Falsafah penubuhannya dilihat dalam kerangka besar pembangunan nasional, bukan sebagai usaha terpisah atau bersifat serpihan. Falsafah inilah yang menjadi asas ketika ITM Cawangan Melaka memulakan operasinya secara rasmi pada 15 Ogos 1984.

Pada peringkat awal penubuhan, ITM Cawangan Melaka hanya menempatkan seramai 157 orang pelajar dengan sokongan tujuh orang tenaga pengajar serta 34 orang kakitangan pentadbiran. Rektor pertamanya, yang ketika itu dikenali sebagai Pengetua sebelum dinaikkan taraf kepada Pengarah, Encik Zulkifli Haji Abidin, melihat tanggungjawab membangunkan ITM Cawangan Melaka sebagai amanah negara. Menurut beliau, pembangunan ITM Cawangan Melaka adalah sebahagian daripada wawasan besar pembangunan negara dan bukan semata-mata untuk kepentingan institusi.
Penubuhan ITM Cawangan Melaka pada tahun 1984 turut boleh disifatkan sebagai sirih pulang ke gagang, memandangkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sendiri merupakan hasil usaha gigih Allahyarham Tun Ghafar Baba, tokoh nasional berasal dari Melaka yang pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Melaka. ITM Cawangan Melaka telah dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Menteri Melaka ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.
Tanpa memiliki kampus tetap pada peringkat awal, ITM Cawangan Melaka ditempatkan di kampus sementara di Jalan Hang Tuah, yang terdiri daripada empat blok bangunan bekas Institut Kemahiran MARA. Blok A menempatkan pentadbiran am, pejabat kewangan, pejabat pengetua, bilik mesyuarat dan bilik pensyarah. Blok B pula menempatkan Dewan Al-Hikmah, bilik komputer, perpustakaan, makmal bahasa dan bilik kuliah. Blok C mengandungi surau, bilik kuliah dan kantin, manakala Blok D menempatkan bilik kuliah, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pejabat Hal Ehwal Akademik.
Ketiadaan kemudahan kediaman pelajar turut menjadi cabaran awal apabila pihak pentadbiran terpaksa menyewa beberapa buah rumah di Jalan Usrah, Kampung Lapan, kira-kira empat kilometer dari kampus. Namun, kekangan logistik ini tidak mematahkan semangat warga kampus yang komited memastikan kelangsungan operasi akademik.
Lima program diploma ditawarkan pada peringkat awal penubuhan iaitu Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Bank, Diploma Perniagaan dan Pengurusan, Diploma Pentadbiran Awam serta Diploma Sains Kesetiausahaan. Kesemua program ini, kecuali Diploma Sains Kesetiausahaan, turut ditawarkan sebagai kursus luar kampus bagi memperluas akses pendidikan kepada masyarakat.
Di sebalik kemudahan yang terhad, sambutan terhadap ITM Cawangan Melaka amat menggalakkan. Menurut Encik Zulkifli, hal ini membuktikan kehausan masyarakat Melayu dan bumiputera terhadap ilmu pengetahuan, khususnya setelah menyedari jurang pendidikan yang wujud di tanah air sendiri. Sambutan yang memberangsangkan ini mendorong usaha mencari lokasi baharu bagi pembinaan kampus tetap yang lebih luas dan sempurna.
Dalam usaha tersebut, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik telah menawarkan sebidang tanah di Kampung Lendu, Alor Gajah, untuk dijadikan kampus tetap ITM Cawangan Melaka. Dari segi pengisian akademik, ITM Cawangan Melaka tidak menghadapi kekangan kerana berjaya menarik tenaga pengajar berkualiti, termasuk yang mahir berbahasa Inggeris. Tenaga pengajar pada era awal, tanpa mengira latar belakang, menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha membangunkan anak bangsa.
Pada tahun 1991, kepimpinan ITM Cawangan Melaka diteruskan oleh Dr Baharuddin Haji Aziz sebagai Rektor ketiga. Beliau memberi penekanan kepada pembinaan hubungan erat antara ITM dan komuniti setempat. ITM tidak seharusnya terhad dalam bilik kuliah atau pagar kampus semata-mata, sebaliknya perlu merentasi sempadan pemikiran masyarakat melalui jalinan ukhwah, ilmu dan kebajikan.
Hubungan simbiotik ini diperkukuhkan menerusi pelbagai program komuniti seperti kerjasama dengan institusi keagamaan, projek khidmat bakti, perkongsian ilmu dan program motivasi. Dr Baharuddin sendiri memulakan usaha ini melalui pertemuan dengan pemimpin akar umbi, termasuk Imam Masjid Lendu, yang mengharapkan ITM menjadi pemangkin pembangunan dan kemakmuran kawasan sekitar.
Perpindahan dari Kampus Jalan Hang Tuah ke Kampus Lendu merupakan satu peralihan fasa paling signifikan dalam sejarah ITM Cawangan Melaka, malah boleh dianggap sebagai satu quantum leap. Proses pemindahan ini dilaksanakan secara gotong-royong oleh seluruh warga kampus, mencerminkan semangat kebersamaan dan pengorbanan yang tinggi. Dr Baharuddin sendiri mengimbau kenangan memandu lori kecil bagi mengangkut peralatan komputer demi memastikan keselamatan aset bernilai tinggi ketika itu.
Kehadiran warga ITM di Lendu membuka lembaran baharu pembangunan institusi ini sebagai pemacu keluhuran ilmu dan agen transformasi masyarakat setempat. Bermula dengan keluasan 349.16 ekar, Kampus Lendu terus berkembang sehingga mencapai keluasan 358.2 ekar, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berakar kukuh di bumi bersejarah Melaka. Ikuti sejarah lanjut penubuhan kampus ini di pautan ITM Cawangan Melaka dan Barisan Peneraju.
Sumber :
- Unit Arkib Cawangan Melaka
- Buku Jalan Hang Tuah Ke Dewan Taming Sari.Koleksi Unit Arkib Cawangan Melaka