Kerja-kerja mereka bentuk Kolej Melati dan Mawar telah bermula pada tahun 1997 apabila Alizar Architect diberi mandat oleh ASI Construction untuk menyediakan reka bentuk asrama ini bagi tujuan kelulusan Bahagian Pembangunan UiTM. Secara keseluruhannya, skop projek merangkumi pembinaan blok asrama pelajar yang terdiri daripada blok 1 dan 3 setinggi lima tingkat, serta blok 2 dan 4 yang masing-masing setinggi lapan dan sepuluh tingkat. Selain itu, pembangunan ini turut melibatkan penyediaan 32 unit rumah warden dalam lapan blok dua tingkat, dua unit rumah penggawa, dua unit rumah pengurusan asrama, empat unit gazebo, 16 unit gerai makan dalam empat blok, dua unit surau, dua unit dewan makan, lapan unit kedai, dua unit pencawang elektrik, dua unit tangki pencegah kebakaran, satu unit tangki air, satu unit rumah pam, satu unit loji rawatan najis mekanikal, tiga buah kolam, sembilan unit pusat pengumpulan sampah serta satu unit tempat perhentian bas.

Tapak projek pembinaan kolej ini telah dikenal pasti di antara Jalan Bijak 1/22 dan Jalan Pintar 1/21A di atas Lot 1758. Keadaan tapak adalah separa rata dengan sebahagiannya terdiri daripada kawasan berbukit dan berbatu, manakala selebihnya agak mendatar. Faktor ini menyebabkan reka bentuk keseluruhan platform dibangunkan secara bertingkat dengan perbezaan aras ketinggian sekitar 10 meter. Selain itu, keluasan tapak yang terhad turut menjadi cabaran dalam menampung kepadatan pembangunan yang diperlukan oleh pihak UiTM, di samping memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkaitan had jarak minimum (setback) antara bangunan dan jalan utama.

Berdasarkan kekangan tapak, keperluan UiTM serta peraturan MBSA, pihak arkitek telah menyediakan satu pelan induk yang kompak dan menyeluruh, di mana semua komponen pembangunan disusun secara praktikal dan berfungsi. Kolej Melati dan Mawar, yang masing-masing menempatkan pelajar lelaki dan perempuan, dipisahkan oleh satu kawasan awam yang merangkumi dataran pelajar, gerai makanan dan gazebo. Setiap kolej dilengkapi dengan sebuah surau serta dua dewan makan berkembar yang boleh digabungkan bagi menampung kapasiti pelajar yang besar semasa acara tertentu. Kemudahan kedai runcit turut disediakan secara berasingan bagi memenuhi keperluan harian pelajar.

Kemudahan tempat letak kenderaan bagi kereta dan motosikal disediakan secukupnya di sekeliling kawasan kolej untuk memudahkan pergerakan pelajar ke blok dan bilik masing-masing. Bagi memastikan projek ini dapat disiapkan sebelum Januari 2002, pihak arkitek telah menggunakan sistem pembinaan panel konkrit yang mampu mempercepatkan kitaran pembinaan berbanding kaedah konvensional. Sistem ini menggunakan konsep “concrete shear wall” yang lebih efisien dari segi masa, walaupun memerlukan tempoh latihan yang lebih panjang kepada tenaga kerja di tapak.

Reka bentuk bilik tidur di kolej ini adalah mengikut piawaian saiz standard EPU bagi institusi pengajian tinggi. Dari segi reka bentuk luaran, pendekatan yang digunakan adalah bersifat fungsional dengan penggunaan warna korporat UiTM bagi mengurangkan kesan visual jisim bangunan yang besar. Secara keseluruhannya, semua bangunan direka dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, kepraktisan dan kemudahan penyelenggaraan.

Projek ini perlu disiapkan sebelum Januari 2002 bagi menampung pertambahan jumlah pelajar UiTM yang semakin meningkat. Sehubungan itu, sementara menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan (MBSA), pihak kontraktor reka dan bina telah memulakan kerja pembinaan lebih awal bagi melaksanakan konsep “fast tracking” yang diperkenalkan. Tempoh kontrak projek bermula pada 7 September 2000 dan berakhir pada 23 Januari 2002. Projek ini dilaksanakan oleh Abi Construction Sdn. Bhd. sebagai kontraktor reka dan bina, dengan Alizar Architect sebagai arkitek, HLAAssociates Sdn. Bhd. sebagai jurutera awam dan struktur, Ramuda Jurutera Perunding sebagai jurutera mekanikal dan elektrikal, Jurukur Bahan Teguh sebagai jurukur bahan, serta MHA Ecoscape sebagai arkitek landskap.

Sumber : Buku Program Majlis Kemuncak Hari Kualiti UiTM 2003

powered by social2s